Eksport teknologi Malaysia melonjak 55%, namun gaji pekerja tidak banyak berubah – CGSI

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 9:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport teknologi Malaysia melonjak 55%, namun gaji pekerja tidak banyak berubah – CGSI Image from: Eksport teknologi Malaysia melonjak 55%, namun gaji pekerja tidak banyak berubah – CGSI sarah29/10/2026 - 09:35 Gambar hiasan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Di sebalik lonjakan eksport Malaysia hampir 55% dan lebihan dagangan RM34 bilion pada September 2026, manfaat ledakan industri teknologi negara masih belum diterjemahkan kepada peningkatan ketara gaji pekerja, peluang pekerjaan dan pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

 

Menurut CGS International (CGSI), pertumbuhan eksport yang pesat itu didorong permintaan global terhadap cip memori, komponen semikonduktor dan peranti storan bagi menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta pusat data.

 

Dalam laporan 'Dissecting Malaysia's Tech Boom', ahli ekonomi CGSI, Nazmi Idrus berkata, pertumbuhan eksport tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan jumlah pengeluaran, bukannya kenaikan harga atau peningkatan daya saing Malaysia berbanding pasaran global.

 

Eksport cip memori Malaysia melonjak 243% bagi tempoh Januari hingga September 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, hampir menyamai unjuran pertumbuhan global sebanyak 249% bagi keseluruhan 2026 oleh World Semiconductor Trade Statistics (WSTS).

 

Amerika Syarikat muncul sebagai destinasi utama eksport teknologi Malaysia, manakala aliran import komponen dari China dan Taiwan mencerminkan kedudukan negara sebagai pusat pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor dalam rantaian bekalan global.

 

Gaji pekerja belum seiring lonjakan eksport

Bagaimanapun, CGSI mendapati pertumbuhan eksport yang pesat itu belum memberikan kesan ketara kepada pendapatan pekerja sektor E&E, dengan purata bayaran pekerja dalam subsektor komponen elektronik dan papan litar kekal sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan berdasarkan data sehingga Ogos 2026.

 

Pertumbuhan guna tenaga sektor E&E pula hanya mencatatkan 1.5% bagi lapan bulan pertama 2026 berbanding 1.1% dalam tempoh sama tahun sebelumnya, menunjukkan pengambilan pekerja belum meningkat secara besar-besaran meskipun eksport berkembang pesat.

 

Dari segi pelaburan, kelulusan projek E&E masih berada sekitar RM5 bilion hingga RM10 bilion setiap suku tahun, jauh lebih rendah berbanding paras RM40 bilion hingga RM80 bilion yang pernah dicatatkan ketika lonjakan pelaburan terdahulu.

 

Pertumbuhan semikonduktor dijangka perlahan pada 2027

CGSI menjangkakan momentum eksport semikonduktor Malaysia akan menyederhana susulan unjuran pertumbuhan jualan semikonduktor global yang perlahan kepada kira-kira 27% pada 2027 berbanding sekitar 90% pada 2026, berdasarkan ramalan WSTS yang dipetik firma itu.

 

Namun, kadar penggunaan kapasiti pengeluaran komputer, elektronik dan produk optik negara meningkat kepada 87.7% pada Jun 2026, tertinggi sejak 2015, sekali gus membuka ruang kepada peluasan kilang dan peningkatan perbelanjaan modal sekiranya permintaan terus kukuh.

 

CGSI berpandangan Malaysia perlu memanfaatkan lonjakan semasa untuk beralih kepada aktiviti semikonduktor bernilai tambah lebih tinggi, termasuk pembungkusan termaju, reka bentuk cip dan perkhidmatan berkaitan, selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional.

 

Bagaimanapun, usaha tersebut berdepan risiko tarif semikonduktor Amerika Syarikat di bawah Seksyen 232, selain kekurangan tenaga mahir, bekalan elektrik dan sumber pengeluaran yang boleh mengekang pertumbuhan sektor itu dalam jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved