
Tenom: Usaha memperkasakan teknologi penanaman secara organik merupakan antara langkah penting bagi memastikan keterjaminan makanan selain meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata masyarakat kini semakin mementingkan kesihatan dan sumber makanan yang diambil sekali gus menjadikan pengeluaran hasil pertanian organik semakin penting.
“Sekiranya banyak perladangan organik kita giatkan maka ia akan menjamin keterjaminan makanan dan kesihatan yang lebih baik.
“Ia seterusnya membolehkan masyarakat berasa selamat dan stabil dalam mendapatkan sumber makanan harian,” katanya selepas merasmikan penutupan Kursus Transformasi Teknologi Perladangan Organik 2.0 di Dewan SJK (C) Chung Hwa pada Sabtu.
Jamawi berkata kursus berkenaan bukan sahaja disertai peserta dari Tenom, malah turut menarik penyertaan dari Keningau, Nabawan, Kudat dan kawasan lain untuk mempelajari topik berkaitan penanaman organik yang disusun sepanjang kursus.
“Kursus seumpama ini merupakan satu langkah daripada Jabatan Pertanian untuk memperkasakan tanaman organik.
“Kita juga sedang menyusun atur beberapa ladang di Tenom untuk melaksanakan tanaman organik supaya ada sumber untuk masyarakat mendapatkan hasil pertanian daripada ladang tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata pensijilan myGAP turut merangkumi aspek kesihatan termasuk mengurangkan penggunaan racun dan baja kimia. Menurutnya enam lagi ladang menerima pensijilan myGAP menunjukkan pengusaha berkenaan telah mematuhi standard bagi memastikan hasil pertanian selamat untuk dimakan.
“Kalau kita dapat lagi myOrganic, ia sebagai bonus untuk ladang tersebut memasarkan hasil. Tetapi ia mempunyai pelbagai SOP yang diperlukan untuk mendapatkan pensijilan myOrganic.
“Sebab itu kita adakan kursus ini sekurang-kurangnya pengusaha dan mereka yang terlibat lebih tahu serta memahami bagaimana kita dapat melaksanakan myOrganic ini sebaik-baiknya untuk negeri Sabah,” katanya.
Da;am pada itu Jamawi turut menggesa pengguna supaya memahami dan mengiktiraf hasil pertanian yang disahkan organik termasuk bersedia membayar harga sedikit lebih tinggi berbanding produk biasa.
Ujarnya harga produk organik yang lebih tinggi disebabkan proses pensijilan serta pelbagai faktor yang memerlukan pengusaha mengeluarkan modal tambahan.
“Kalau kita mementingkan kesihatan apatah lagi kita membelanjakan sedikit lebih tinggi berbanding produk lain untuk mendapatkan produk daripada ladang-ladang yang disijilkan sebagai myOrganic,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Jamawi berkata 25 ekor lembu akan diagihkan kepada kumpulan B40 di kawasan Melalap khususnya di Kampung Lagud.
Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut diminta menaik taraf dan memulihkan padang ragut di Tenom serta kawasan lain di seluruh Sabah.
“Kita telah memulakannya awal tahun ini dan dua tempat yang kita pilih untuk pelaksanaan tahun ini ialah padang ragut Kampung Lagud dan padang ragut Kampung Pamilaan.
“Hari ini kita akan agihkan 25 ekor di kawasan padang ragut Kampung Lagud dan pada September nanti kita akan agihkan 45 ekor di padang ragut Kampung Pamilaan,” tambahnya.
Menurut Jamawi kedua-dua padang ragut berkenaan telah dipulihkan, termasuk dipasang pagar dan ditanam rumput.
“Usaha itu adalah sebahagian daripada komitmennya sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan untuk memperkasakan semula padang ragut yang terdapat di Sabah selain membantu rakyat yang memerlukan mendapatkan induk lembu berkualiti.
“Bagaimanapun kita menasihatkan penerima supaya tidak terlalu awal menjual induk lembu yang diberikan, sebaliknya membiakkannya bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka pada masa akan datang.
“Ada rakan-rakan yang dahulu dapat induk lembu, dua atau tiga bulan kemudian dijual. Biarlah ia sempat membiak.
“Induk-induk kita ini berkualiti. Ia boleh menghasilkan lebih kurang tujuh generasi yang akan mendapat lebih kurang sama seperti induknya,” katanya.
Beliau memaklumkan sekiranya pembiakan itu diteruskan, jumlah ternakan boleh meningkat kepada 10, 20 atau 30 ekor pada masa akan datang sebelum dijual bagi membolehkan penerima mengembangkan sumber pendapatan.






