
GEORGE TOWN : Seorang lelaki warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki warga Australia yang berusia tiga tahun, minggu lepas.
Tertuduh, Aung Phyo Win, 30, yang telah berkahwin dengan warga tempatan membuat pengakuan itu dalam Bahasa Melayu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap kanak-kanak terbabit dengan meraba bahagian kemaluan mangsa bagi maksud seksual di sebuah warung penjaja di Lorong Baharu, George Town, kira-kira pukul 9.10 malam, 20 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat selain boleh dikenakan hukuman tambahan iaitu penjara sehingga lima tahun serta tidak kurang daripada dua kali sebatan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh pula diwakili peguam, K. Mahendran.
Ketika prosiding, Anuarul Hakim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun, Mahendran memohon jaminan diberi terhadap anak guamnya dengan mencadangkan dua penjamin warga tempatan selain memaklumkan bahawa tertuduh mempunyai pekerjaan tetap di sebuah hotel dan pasportnya juga telah diserahkan kepada pihak polis.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN
The post Lelaki Myanmar tak mengaku amang seksual kanak-kanak Australia appeared first on Utusan Malaysia.






