
JASIN – Tiga penumpang cedera selepas bas persiaran dinaiki mereka dari Singapura menuju ke Kuala Lumpur terbabas di Kilometer 177.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa yang cedera terdiri daripada dua wanita warga Singapura berusia 59 dan 62 tahun serta seorang wanita warga Britain berusia 46 tahun.
Kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kejadian berkenaan turut tular di media sosial selepas beberapa keping gambar dan klip video dikongsikan pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz menerusi akaun Instagram miliknya.
Menerusi hantaran itu, Aaron memaklumkan bas dinaiki sepupunya terlibat dalam nahas dan terbalik sehingga menyebabkan ramai penumpang mengalami kecederaan, selain meminta bantuan orang ramai yang berada berdekatan lokasi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila bas berkenaan cuba mengelak sebuah lori di hadapannya yang secara tiba-tiba memperlahankan kenderaan.
“Akibat tindakan itu, bas tersebut terbabas ke kiri jalan. Kejadian berlaku dalam keadaan jalan lurus, kering dan cuaca baik.
“Tiada saksi awam serta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka diperoleh setakat ini,” katanya.
Beliau berkata, tiga penumpang yang cedera menerima rawatan di zon kuning dan hijau akibat kecederaan di bahagian kaki serta kepala.
“Pemandu bas berusia 31 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing akan dilakukan terhadapnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
The post Bas dinaiki sepupu Aaron Aziz terbalik, tiga cedera appeared first on Kosmo Digital.





