
IPOH – Polis merakam keterangan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung kes tembakan membabitkan dua lelaki bersenjata api di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor, Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, mereka terdiri daripada tiga ahli keluarga mangsa yang berada dalam kenderaan jenis Toyota Land Cruiser dan beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian.
Katanya, keterangan mangsa berusia 41 tahun turut diambil ketika lelaki itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan polis masih menyiasat dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
“Semakan mendapati kereta Honda City yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya selepas Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Warga Kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak Tahun 2026 di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak, di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya giat mengesan dua suspek terbabit, serta seorang lagi individu yang dipercayai memandu kereta berwarna hitam berkenaan.
Katanya, semakan ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut mendapati mangsa ditembak dari dua arah, iaitu bahagian hadapan dan kanan.
“Polis turut meneliti rakaman CCTV di beberapa lokasi lain termasuk plaza tol. Bagaimanapun, semakan mendapati kenderaan suspek tidak berhenti di mana-mana kawasan rehat.
“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa diekori berdasarkan pergerakan kereta suspek yang dipercayai dipandu laju sebelum berhenti di hadapan kenderaan mangsa dan melepaskan tembakan,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 6.08 petang kelmarin, seorang ahli perniagaan cedera di bahu kiri selepas ditembak dua lelaki di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral.
Kejadian berlaku ketika kenderaan dipandu abang ipar mangsa berhenti untuk mengisi minyak.
Mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan Toyota Land Cruiser terkena satu das tembakan di bahu. – KOSMO! ONLINE
The post Tembak di stesen minyak: Mangsa diekori, ditembak dari dua arah appeared first on Kosmo Online.






