Tembak isteri di KLIA: Rayuan Hafizul mula hukuman dari tarikh tangkapan ditolak

26 Oct 2026 • 1:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tembak isteri di KLIA: Rayuan Hafizul mula hukuman dari tarikh tangkapan ditolak
Hafizul memakai baju T berwarna putih dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang pada 2024 lalu.

SHAH ALAM – Rayuan seorang lelaki yang mengaku melepaskan tembakan terhadap isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mencederakan seorang pengawal peribadi supaya hukuman penjaranya dikira dari tarikh tangkapan di Kota Bharu pada 2024, ditolak Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim, Datuk Shamsulbahri Ibrahim memutuskan perintah Mahkamah Sesyen Sepang yang mengarahkan hukuman penjara terhadap Hafizul Hawari bermula selepas menjalani hukuman bagi kes di Kota Bharu sebagai sah dan adil.

Di Sepang, lelaki itu berdepan dua kes iaitu melepaskan tembakan dan mencederakan individu manakala di Kota Bharu pula, dia didakwa atas tujuh kes memiliki senjata, kad pengenalan dan memandu kereta nombor pendaftaran palsu.

Bagi kes di Kota Bharu, dia dihukum penjara enam tahun bermula dari tarikh tangkapan dan enam sebatan sementara tujuh tahun penjara bagi kes di Sepang.

Mahkamah memerintahkan hukuman bagi kes Sepang berjalan selepas tamat hukuman bagi kes di Kota Bharu.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, dia merayu agar hukuman bagi kes Sepang berjalan serentak dengan kes di Kota Bharu.

Menerusi keputusan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem kehakiman pada Isnin minggu lalu, Shamsulbahri menegaskan, pengiraan hukuman dari tarikh tangkapan bukanlah hak automatik seseorang yang disabitkan kesalahan, sebaliknya tertakluk kepada budi bicara hakim berdasarkan fakta dan keadaan setiap kes.

"Keputusan mahkamah rendah tidak menyalahi undang-undang kerana peruntukan berkenaan membenarkan hukuman penjara baharu dimulakan selepas hukuman terdahulu selesai," katanya.

Shamsulbahri berpendapat, hukuman berkenaan selaras dengan Seksyen 292 Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, perkara berkenaan memberi mahkamah kuasa menentukan sama ada hukuman penjara terhadap seseorang yang sedang menjalani hukuman terdahulu perlu bermula serta-merta atau selepas hukuman sedia ada selesai.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi itu, rayuan Hafizul ditolak dan perintah Mahkamah Sesyen Sepang bertarikh 5 Disember 2025 dikekalkan.

Hafizul sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sepang pada 5 Disember 2025 iaitu cubaan membunuh isterinya, Farah Md Isa, 39, dan menyebabkan kecederaan parah terhadap pengawal peribadi, Mohd Nur Hadith Zaini, menggunakan senjata api.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, manakala tujuh tahun bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata api mengikut Seksyen 326 kanun sama.

Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak antara satu sama lain, namun selepas selesai menjalani hukuman penjara yang dikenakan dalam prosiding jenayah berasingan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.

Hafizul merayu terhadap keputusan berhubung tarikh permulaan hukuman itu, bukannya sabitan atau tempoh pemenjaraan yang dikenakan.

Dalam rayuannya, pihak pembelaan berhujah Hafizul telah ditahan tanpa jaminan sejak 15 April 2024 hingga 5 Disember 2025, iaitu hampir 20 bulan, dan tempoh tahanan itu wajar diambil kira ketika menentukan hukuman.

Pembelaan turut menyatakan Hafizul mengaku bersalah pada peringkat awal, tidak mempunyai rekod sabitan jenayah terdahulu sebelum kejadian berkenaan selain menunjukkan penyesalan serta keinsafan.

Berdasarkan pertuduhan, Hafizul didakwa cuba membunuh Farah di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, KLIA, pada jam 1.09 pagi 14 April 2024.

Bapa dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika menyebabkan kecederaan, penjara maksimum 20 tahun.

Bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi bekas isterinya, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi bekas isterinya, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi mendapati, Hafizul mengetahui isterinya pulang daripada menunaikan umrah, menunggu berhampiran tiang berdekatan lif sebelum melepaskan tembakan ke arah Farah dan pengawal peribadinya.

Pengawal peribadi itu mengalami kecederaan tembakan menembusi abdomen sehingga menyebabkan kecederaan pada usus sehingga memaksa mangsa menjalani pembedahan kecemasan dan menerima rawatan selama 13 hari di Hospital Cyberjaya.

Selepas kejadian, Hafizul melarikan diri dari kawasan KLIA namun berjaya ditahan di Kota Bharu pada 15 April 2024 ketika memandu sebuah kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Hafizul sebelum ini dijatuhi hukuman penjara bagi kesalahan memiliki pistol Glock 19 buatan Austria secara haram, memiliki 33 butir peluru tanpa lesen, memiliki mercun tanpa permit, memiliki kad pengenalan milik individu lain serta memandu kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu.

Hukuman penjara bagi kesalahan-kesalahan berkenaan diperintahkan berjalan serentak antara satu sama lain dan berkuat kuasa mulai tarikh tangkapannya pada 15 April 2024.

Bagi kes di Kota Bharu, pertuduhan pertama, Hafizul dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan, pertuduhan kedua dan ketiga masing-masing hukuman penjara tiga tahun.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan pertuduhan ketujuh, tertuduh dihukum penjara setahun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, Made in Turkey, yang menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali jika disabitkan.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 Auto tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk pertuduhan ketujuh, Hafizul didakwa memandu Honda Civic putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Semua pertuduhan dilakukan dalam sebuah kereta Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di sini, jam 2 petang, 15 April tahun lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved