Tembak KLIA: Rayuan Hafizul ditolak, penjara tujuh tahun kekal

26 Oct 2026 • 2:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tembak KLIA: Rayuan Hafizul ditolak, penjara tujuh tahun kekal

SHAH ALAM – Hasrat bekas pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari, 40, agar hukuman penjara tujuh tahun bagi kes tembak isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula dari tarikh tangkap tidak kesampaian apabila rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Shamsulbahri Ibrahim memutuskan perintah Mahkamah Sesyen Sepang yang mengarahkan hukuman penjara terhadap Hafizul bermula selepas menjalani hukuman bagi kes di Kota Bharu, Kelantan, sebagai sah dan adil.

Berdasarkan alasan kehakiman yang dimuatnaik pada 19 Oktober lalu, Shamsulbhari menegaskan, keputusan itu selaras dengan Seksyen 292 Kanun Tatacara Jenayah.

“Mahkamah mempunyai kuasa menentukan sama ada hukuman baharu bermula serta-merta atau selepas hukuman terdahulu selesai.

“Pengiraan hukuman dari tarikh tangkapan bukan hak automatik, sebaliknya tertakluk kepada budi bicara hakim berdasarkan fakta kes,” katanya.

Terdahulu, dalam permohonan rayuan difailkan, pihak pembelaan berhujah Hafizul telah ditahan tanpa jaminan sejak 15 April 2024 hingga 5 Disember 2025, iaitu hampir 20 bulan, dan tempoh tahanan itu wajar diambil kira ketika menentukan hukuman.

Pembelaan turut menyatakan Hafizul mengaku bersalah pada peringkat awal, tidak mempunyai rekod sabitan jenayah terdahulu sebelum kejadian berkenaan selain menunjukkan penyesalan serta keinsafan.

Bagaimanapun, Shamsulbahri berpendapat keputusan mahkamah terdahulu itu tidak menyalahi undang-undang kerana peruntukan berkenaan membenarkan hukuman penjara baharu dimulakan selepas hukuman terdahulu selesai.

Sebelum ini, Hafizul dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan cubaan membunuh isterinya, Farah Md Isa, 40, dan tujuh tahun kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap pengawal peribadi, Mohd. Nur Hadith Zaini, 39, menggunakan senjata api.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Hafizul mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak, tetapi hanya selepas dia selesai menjalani hukuman penjara yang dikenakan dalam prosiding jenayah berasingan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.

Dalam kes berasingan di Kota Bharu, dia dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan kerana memiliki pistol Glock 19 secara haram, serta tiga tahun bagi setiap kesalahan memiliki peluru tanpa lesen dan mercun tanpa permit.

Dia turut dihukum penjara enam bulan bagi setiap tiga pertuduhan memiliki kad pengenalan orang lain dan setahun bagi kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Semua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 15 April 2024.

Hafizul didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di dalam sebuah kereta Honda Civic di pekarangan sebuah hospital swasta di Kota Bharu kira-kira pukul 2 petang pada 15 April 2024.

Kosmo! sebelum ini melaporkan pengawal peribadi Ustazah Farah Cie cedera parah selepas ditembak di Balai Ketibaan KLIA, Sepang.

Tembakan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada usus sehingga terpaksa menjalani pembedahan kecemasan dan menerima rawatan selama 13 hari di Hospital Cyberjaya.

Hafizul kemudian ditahan di hadapan sebuah hospital swasta ketika memandu kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu kira-kira pukul 3 petang pada 15 April 2024, selepas melarikan diri lebih 36 jam. – KOSMO! ONLINE

The post Tembak KLIA: Rayuan Hafizul ditolak, penjara tujuh tahun kekal appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved