KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah bagi tahun ini sehingga 30 Jun depan, berbanding tarikh asal pada 31 Mei setiap tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lanjutan tempoh tersebut diberikan bersama pengecualian daripada dikenakan denda lewat sebanyak 10 peratus daripada jumlah cukai tanah semasa yang dikenakan.
Jelas beliau, pertimbangan tersebut dibuat selepas mengambil kira faktor tempoh cuti yang agak panjang sepanjang bulan Mei ini bagi memberi ruang dan kemudahan kepada rakyat menjelaskan bayaran masing-masing.
"Saya ingin mengingatkan bahawa cukai tanah merupakan tanggungjawab penting setiap pemilik tanah.
"Hasil kutipan tersebut dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan, penyediaan infrastruktur, kebajikan rakyat serta perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat Pahang secara keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Wan Rosdy menyeru agar semua pembayar cukai mengambil peluang lanjutan tempoh ini untuk menyelesaikan bayaran cukai tanah masing-masing dengan segera bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan pada masa akan datang.
"Kita sentiasa komited memastikan tadbir urus hasil negeri berada pada tahap terbaik demi menjamin kestabilan kewangan negeri serta kelangsungan agenda pembangunan untuk manfaat seluruh rakyat," katanya.





