Tempoh pengesahan doktor pakar sehingga 18 bulan tidak benar - KKM

LocalHealth & Fitness
17 Feb 2025 • 4:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Radzi

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan mewajibkan tempoh pengesahan sebagai doktor pakar sehingga 18 bulan dan pegawai perubatan menerima kurang daripada separuh gaji yang sepatutnya.

Mengesahkan dakwaan itu tidak benar, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pihaknya tidak mengeluarkan dasar baharu atau garis panduan yang dipinda menerusi Akta Perubatan 1971, berkaitan tempoh pengesahan doktor pakar seperti dilaporkan media tempatan.

"Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729], iaitu pindaan tahun 2024 terhadap Akta Perubatan 1971 [Akta 50] masih belum dikuatkuasakan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, kajian mengenai penyelarasan elaun Bayaran Insentif Pakar (BIP) kini berada di peringkat akhir untuk diselarikan dengan lunas undang-undang.

"Sebarang keputusan mengenainya akan diumumkan secara rasmi setelah dimuktamadkan dengan agensi-agensi pusat dan perubahan penyelarasan elaun ini juga hanya akan terpakai kepada pengamal yang tamat latihan kepakaran selepas Akta A1729 dikuatkuasakan," jelas Dr Muhammad Radzi.

Terdahulu, akhbar tempatan dalam laporannya mendakwa dasar baharu KKM mewajibkan tempoh pengesahan sebagai doktor pakar sehingga 18 bulan berbanding enam bulan sebelum ini disifatkan tidak adil dan satu eksploitasi terhadap profession itu.