
KUALA LUMPUR - Tempoh reman ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat pegangan kerana disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham disambung lima hari lagi.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataannya memberitahu, perintah berkenaan dibuat ke atas kedua-dua suspek sehingga 16 April ini oleh Majistret Ainul Izzati Mohd Jamili selepas mendapat permohonan daripada SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Permohonan itu dibuat sebaik tempoh reman asal terhadap kedua-dua suspek tamat hari ini.
“Sebelum ini kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari sejak Khamis lalu,’’ katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, kes tersebut turut disiasat berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah dan kesalahan jenayah lain yang berkaitan, khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.
Sebelum ini, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada tahun 2022 hingga 2023.
“Siasatan turut mendapati urus niaga penjualan saham tersebut dipercayai melibatkan penilaian harga yang tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal sehingga menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta,” katanya.
Sumber itu berkata, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM turut menjalankan penggeledahan di 13 lokasi utama merangkumi agensi dan syarikat berkepentingan awam, premis pejabat serta kediaman individu yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang. - 12 April, 2026
The post Tempoh reman bekas CEO, pengerusi syarikat disambung hingga 16 April appeared first on Scoop.
