Tempoh tiga hari bawa pulang Dara, Amoi, Kelat

LocalPets
24 Apr 2026 • 1:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tempoh tiga hari bawa pulang Dara, Amoi, Kelat
Kalai meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup untuk mengeluarkan kenyataan membawa pulang tiga ekor gajah Asia yang kini ditempatkan di sebuah zoo di Jepun.
Image from: Tempoh tiga hari bawa pulang Dara, Amoi, Kelat
Peserta demonstrasi membawa sepanduk bantahan.

PUTRAJAYA - Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) memberi tempoh tiga hari untuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup untuk mengeluarkan kenyataan membawa pulang tiga ekor gajah Asia yang kini ditempatkan di sebuah zoo di Jepun.

Pengerusi Seketeriat Bahana Kesetiaan Negara (SBKB), Datuk S Kalai menegaskan, gajah- gajah yang dinamakan Dara, Amoi dan Kelat itu dipindahkan ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun pada 10 Mac lalu.

Menurutnya, dokumen kesihatan, sejarah dan asal-usul ketiga-tiga gajah berkenaan menunjukkan haiwan itu tinggal di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah sejak kecil, bukan seperti didakwa berasal dari Zoo Taiping, Perak.

"Menteri tiada di pejabat hari ini kerana beliau di Sabah, tetapi pertemuan dengan pegawainya tadi memberitahu perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin.

"Bagi pihak kami pula, kita kata dalam tiga hari, menteri kena bagitahu secara rasmi kenyataan bawa pulang Dara, Amoi dan Kelat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas demonstrasi aman di sini pada Jumaat.

**media[3500944]**

Dakwa Kalai, Kelat yang juga sekor gajah jantan telah mengalami kecederaan di kaki selain gading.

"Kami menuntut penjelasan rasmi secara terperinci mengenai punca sebenar sama ada ia daripada kemalangan, stres, kecuaian atau campur tangan manusia," jelasnya.

Dalam memorandum yang diserahkan, SBKB turut menuntut antara lain penghentian serta- merta sebarang pemindahan hidupan liar Malaysia ke zoo luar negara atau pemberian diplomatik.

"Negara lain seperti India pun saya tidak pernah dengar mereka buat pemindahan haiwan," jelas Kalai.

Terdahulu beliau meluangkan masa sekitar 20 minit untuk menyerahkan memorandum tuntutan kepada Timbalan Ketua Setiausaha Sumber Asli NRES, Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi yang mewakili Arthur.

Dara, Amoi dan Kelat diterbangkan ke Jepun menerusi penerbangan khas yang mengambil masa selama enam jam.

Penghantaran itu adalah sebahagian daripada kerjasama dua hala yang dirancang rapi sejak 2022 dan diselaraskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Amoi berusia sembilan tahun, Dara (14) dan Kelat (20) dipindahkan sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.

Awal bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Ng Shy Ching berkata, kesemua gajah berkenaan kekal sebagai milik Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dan tidak melibatkan sebarang pemindahan hak milik atau urus niaga jual beli.

View Original Article