TEMUBUAL TOPRAK RAZGATLIOGLU – “SAYA MASIH BELUM KENAL HAD CENGKAMAN TAYAR DEPAN”

13 Nov 2025 • 8:19 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Ujian tertutup di Litar Aragon menjadi satu lagi langkah penting buat Toprak Razgatlioglu dalam peralihan karier dari WorldSBK ke arena MotoGP. Toprak menamatkan sesi ujian tersebut dengan 33 pusingan, mencatat masa terbaik sekitar 1:49 dalam keadaan cuaca sejuk dan berangin.

“Secara jujur, ia hari yang agak luar biasa. Cuaca berangin dan permulaan terasa sangat berbeza kerana tidak seperti jentera Superbike, jentera MotoGP memberikan sensasi yang sangat halus. Anda boleh rasa setiap gelinciran kecil pada tayar,” jelas Toprak.

“Awalnya agak sukar, tapi saya cuba membiasakan diri dengan motosikal ini. Cuma saya masih belum tahu sejauh mana had cengkaman tayar depan.”

Toprak menambah, “Pasukan menasihati saya agar tidak menekan tayar depan terlalu kuat kerana cuaca sejuk menyebabkan cengkaman berkurang. Saya cuba menunggang dengan lebih tenang, tapi di penghujung ujian, saya berjaya mencatat beberapa pusingan yang baik. Saya ada dua set tayar baru dan objektif utama hanyalah untuk menyesuaikan diri dengan motosikal, rasai tunggangan, gunakan tetapan asas, cuba pelarasan hendal, footrest, brek belakang, gear, semuanya saya ubah ikut keselesaan sendiri.”

Toprak turut menyatakan bahawa walaupun tiada sasaran masa rasmi daripada Yamaha, beliau tetap meletakkan harapan tinggi. “Saya rasa kalau ada satu lagi set tayar baharu, saya boleh tembus masa 1:48 dengan mudah. Pusingan 1:49 itu tidaklah buruk, memandangkan saya cuma menunggang beberapa kali iaitu 9 pusingan dengan tayar baru, kemudian 3 pusingan tayar terpakai dan 3 lagi selepas itu. Disebabkan cuaca sejuk, tayar cepat hilang cengkaman di selekoh kanan.”

Toprak menambah sambil berseloroh, “Saya sempat terfikir nak pinjam tayar Honda (ketawa). Tapi yang penting, saya tidak terjatuh dan dapat memahami karakter motosikal dengan lebih baik.”

Menutup sesi ujian Aragon dengan senyuman, Toprak memaklumkan bahawa kini beliau menumpukan perhatian untuk ujian seterusnya di Valencia. “Saya sudah ada sedikit kefahaman tentang motosikal ini. Tapi terus terang, saya masih belum tahu di mana had tayar depan. Itu akan datang dengan sendiri apabila saya banyak tunggangan saya diatas jentera M1”, terang Toprak mengakhiri temubual.

Teruskan bersama Two Wheels..!

The post TEMUBUAL TOPRAK RAZGATLIOGLU – “SAYA MASIH BELUM KENAL HAD CENGKAMAN TAYAR DEPAN” appeared first on TW Media.