Tenaga solar sinari kehidupan komuniti Orang Asli

LocalEnvironment
11 Aug 2026 • 11:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tenaga solar sinari kehidupan komuniti Orang Asli

AKSES kepada bekalan elektrik yang stabil bukan sekadar memberi cahaya pada waktu malam, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi sesebuah komuniti.

Antara sumber tenaga sedia ada adalah menerusi teknologi tenaga boleh diperbaharui yang dilihat mampu memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pembangunan antara komuniti bandar dan luar bandar.

Menyedari kepentingan itu, sebuah yayasan kemanusiaan, SOLS Foundation dengan kerjasama Google melaksanakan pemasangan sistem tenaga solar di Kampung Sungai Relang, Gombak, Selangor sekali gus mengembalikan bekalan elektrik yang lebih stabil kepada penduduk Orang Asli yang sebelum ini berdepan gangguan bekalan tenaga.

Menurut Penyelaras Operasi dan Tenaga Komuniti SOLS Foundation, Fakhrul Azmi, inisiatif yang siap dilaksanakan itu melibatkan pemasangan sistem solar di 11 buah rumah, sekali gus memberi manfaat kepada 46 orang penduduk kampung.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar yang turut merangkumi Kampung Air Kuning terdahulu, menjadikan keseluruhan 41 isi rumah dengan 140 penduduk di dua komuniti Orang Asli di Selangor kini menikmati kemudahan tenaga bersih yang lebih dipercayai.

“Sebelum ini, penduduk Kampung Sungai Relang bergantung kepada penjana elektrik dan panel solar bersaiz kecil selepas sistem mikrogrid yang digunakan mengalami kerosakan.

“Keadaan itu menyebabkan bekalan elektrik tidak menentu dan mengehadkan penggunaan peralatan elektrik harian,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikongsi kepada K-Tekno baru-baru ini.

Tambahnya, pelaksanaan sistem solar baharu bukan sahaja mengatasi masalah tersebut, malah membolehkan penduduk menikmati sumber tenaga yang lebih konsisten, selamat dan mesra alam.

Impak projek tersebut dapat dirasai dalam kehidupan seharian penduduk, malah bekalan elektrik yang lebih stabil membolehkan kanak-kanak belajar pada waktu malam tanpa gangguan, selain mengurangkan kebergantungan keluarga terhadap penggunaan generator yang memerlukan kos bahan api serta penyelenggaraan.

Katanya lagi, manfaat sebenar projek itu bukan hanya terletak pada pemasangan panel solar tetapi menyediakan sumber tenaga yang boleh dipercayai untuk jangka panjang.

“Dengan bekalan elektrik yang stabil, penduduk mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan aktiviti produktif termasuk menjalankan perusahaan kecil, mengurus keperluan harian serta meningkatkan kesejahteraan keluarga.

Image from: Tenaga solar sinari kehidupan komuniti Orang Asli
Pihak SOLS Foundation, Google dan komuniti Orang Asli Kampung Sungai Relang bergambar kenangan.

“Selain meningkatkan taraf hidup komuniti, penggunaan tenaga solar turut menyokong agenda kelestarian negara melalui pengurangan penggunaan bahan api fosil dan pelepasan karbon,” ujarnya.

Kongsinya lagi, berbanding generator konvensional yang menghasilkan pencemaran bunyi serta asap, sistem solar menawarkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih, menjimatkan dan memerlukan penyelenggaraan minimum.

Malah, gabungan projek di Kampung Sungai Relang dan Kampung Air Kuning dianggarkan mampu menjana penjimatan isi rumah sebanyak RM177,120 setahun.

Pada masa sama, penduduk dijangka memperoleh semula kira-kira 88,560 jam masa produktif setiap tahun yang sebelum ini banyak digunakan untuk mengurus bekalan elektrik atau mendapatkan bahan api generator.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Komuniti dan Tenaga Kerja Google Asia Pasifik, Arina Dafir berkata, pembangunan infrastruktur digital yang bertanggungjawab perlu bermula dengan memastikan masyarakat mempunyai akses kepada bekalan elektrik yang mencukupi.

Menurutnya, komitmen jangka panjang Google di Malaysia bukan sekadar melibatkan pelaburan dalam penjanaan tenaga bersih, malah turut memberi perhatian kepada komuniti luar bandar yang masih belum menikmati bekalan elektrik yang stabil.

“Untuk membantu lebih ramai masyarakat di Selangor berkembang dalam era digital, keperluan asas mereka perlu dipenuhi terlebih dahulu.

“Bekalan elektrik yang stabil bukan sahaja menerangi ruang belajar kanak-kanak dan menjadikan kediaman lebih selamat pada waktu malam, malah menjadi asas kepada peluang yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Ujarnya lagi, kerjasama bersama SOLS Foundation dan komuniti setempat membolehkan tenaga solar disalurkan terus ke kediaman penduduk, sekali gus meningkatkan kualiti hidup keluarga yang terlibat.

The post Tenaga solar sinari kehidupan komuniti Orang Asli appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved