johardy04/08/2026 - 11:31 KUALA LUMPUR 4 Ogos – Kerajaan mengutamakan keterjaminan tenaga negara dengan mempelbagaikan akses kepada sumber gas berskala besar yang berpotensi memperluaskan pilihan bekalan serta meningkatkan daya tahan keselamatan tenaga.
Menurut Kementerian Ekonomi, susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global akibat ketegangan geopolitik, tumpuan terus diberikan untuk mempelbagaikan sumber bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara atau satu pasaran sahaja.
Kementerian itu berkata, sebarang import minyak mentah dari mana-mana negara termasuk Rusia perlu dilaksanakan mengikut dasar perdagangan antarabangsa serta melalui saluran komersial yang sah.
“Perkara ini tertakluk kepada pertimbangan harga, spesifikasi produk, logistik, kaedah pembayaran, pengangkutan, insurans serta undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan di laman web Parlimen.
Jawapan itu sebagai menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel selama 20 tahun dengan Rusia serta bagaimana hak pengusahaan telaga gas di Turkmenistan akan diterjemahkan kepada manfaat jangka panjang untuk rakyat.
Kementerian itu turut menjelaskan bahawa peluang pengusahaan telaga gas di Turkmenistan dinilai berdasarkan merit komersial serta potensi sumbangannya terhadap kepelbagaian sumber bekalan gas bagi jangka panjang.
Perjanjian Petronas di Turkmenistan
Pada 20 Jun lalu, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) memeterai beberapa perjanjian baharu dengan dua syarikat dari Turkmenistan, meliputi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) bagi Blok Luar Pesisir 19 dan 20, serta perjanjian kerjasama bagi menjalankan kajian seismik dua dimensi (2D) di blok luar pesisir utara.
Petronas berkata, kedua-dua perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu, memperkukuh pemahaman geologi bawah permukaan serta menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai antara penyumbang penting kepada bekalan tenaga di peringkat serantau dan global.
Mengenai manfaat kepada rakyat, Kementerian Ekonomi berkata, usaha kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga boleh diterjemahkan melalui tiga aspek utama, iaitu memperkukuh keterjaminan bekalan negara menerusi akses kepada sumber tenaga jangka panjang.
Selain itu, langkah tersebut menyediakan ruang yang lebih baik untuk mengurus tekanan harga dan subsidi secara lebih teratur berikutan bekalan yang lebih pelbagai, di samping meningkatkan penglibatan syarikat perkhidmatan minyak dan gas tempatan dalam rantaian nilai antarabangsa.
Pendekatan itu juga dijangka memperkukuh kepakaran teknikal Malaysia serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Kepelbagaian bekalan kurangkan risiko pasaran
Bagaimanapun, kementerian menegaskan bahawa pendekatan tersebut tidak bermakna Malaysia akan terlindung sepenuhnya daripada turun naik harga tenaga di pasaran dunia.
“Namun, akses kepada sumber bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya saing berpotensi menyokong kestabilan bekalan serta mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global.
“Ini seterusnya membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk melindungi kepentingan rakyat, industri dan ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya. - BERNAMA






