
Tencent melancarkan ClawBot, alat baharu yang menghubungkan WeChat dengan ejen kecerdasan buatan (AI) OpenClaw. ClawBot muncul sebagai kontak dalam WeChat, membolehkan lebih 1 bilion pengguna menghantar arahan terus kepada ejen AI dengan hanya menggunakan mesej.
Clawbot boleh menguruskan dan menghantar emel, menghantar fail merentasi aplikasi, melakukan tugasan multi langkah, serta berinteraksi dengan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan di dalam WeChat.

Sebelum ini Tencent telah melancarkan ejen AI mereka sendiri iaitu WorkBuddy untuk perusahaan, QClaw untuk pengguna individu dan Lighthouse untuk pembangun. Populariti OpenClaw meningkat tahun ini dengan ia mempunyai reputasi sebagai ejen AI yang boleh menggantikan pelbagai tugas manusia termasuk membangunkan perisian.
Selain Tencent, NVIDIA turut baharu sahaja melancarkan NemoClaw sebagai pesaing OpenClaw secara sumber terbuka lengkap dengan alat keselamatan dan privasi. Sementara itu Alibaba melancarkan Wukong, platform AI perusahaan yang menyelaras pelbagai ejen AI untuk tugasan kompleks seperti penyuntingan dokumen dan transkripsi mesyuarat.
