Tendang muka murid hingga cedera, bekas guru KAFA didenda RM2,000

23 Sep 2026 • 1:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tendang muka murid hingga cedera, bekas guru KAFA didenda RM2,000
Abdullah Mustakim, 33, ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Krai pada Rabu.

KUALA KRAI - Bekas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menendang muka murid lelaki darjah lima hingga cedera.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhi hukuman itu ke atas Abdullah Mustakim, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas murid berkenaan dengan cara menendang muka menggunakan kaki kanannya di dalam kelas sebuah sekolah di sini pada 2.30 petang, 23 Oktober 2024.

Abdullah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan dia menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Terdahulu, Abdullah diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Farazalila Fauzi merayu hukuman ringan atas alasan dia kini bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan RM1,000, selain menanggung seorang isteri serta tiga anak yang masih kecil dan belum bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor memohon hukuman setimpal kerana kesalahan itu dilakukan terhadap seorang kanak-kanak, selain sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, pada 5.15 petang, 23 Oktober 2024 semasa pengadu yang merupakan ibu kanak-kanak itu berada di pasar malam, anaknya memberitahu dia dipukul dengan cara ditendang oleh tertuduh di bahagian muka semasa kelas KAFA di sekolah hingga cedera di bahagian gusi.- Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved