Bekas guru KAFA tendang muka murid didenda RM2,000

23 Sep 2026 • 12:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas guru KAFA tendang muka murid didenda RM2,000

KUALA KRAI – Seorang bekas guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaaan terhadap muridnya ketika berada di darjah lima dengan menendang muka kanak-kanak tersebut kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Abdullah Mustakim, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dengan cara menendang muka menggunakan kaki kanan di dalam kelas 5 Usaha di sebuah sekolah rendah di sini kira-kira pukul 2.30 petang pada 23 Oktober 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farazaliza Fauzi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Berdasakan fakta kes, kira-kira pukul 5.15 petang pada 23 Oktober 2024, mangsa memaklumkan kepada ibunya bahawa telah dipukul dengan cara ditendang oleh tertuduh pada bahagian muka semasa kelas Kafa di sekolah sehingga mengalami kecederaan pada bahagian gusi.

Tertuduh telah membawa mangsa ke sebuah klinik untuk menerima rawatan selepas kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Bekas guru KAFA tendang muka murid didenda RM2,000 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved