Tengku Ampuan Pahang berkenan saksikan dokumentari kejayaan pendakian Everest Kicok, Margaret

11 Sep 2026 • 1:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tengku Ampuan Pahang berkenan saksikan dokumentari kejayaan pendakian Everest Kicok, Margaret
Tunku Azizah (tengah) berkenan bergambar kenangan bersama pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok (kanan) dan Chew Wei Ngor pada majlis tayangan khas dokumentari ‘TEKAD: Ekspedisi Guthrie Everest 2026’ di sebuah pawagam di Subang Jaya, malam tadi. Foto: Bernama

PETALING JAYA - Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyaksikan tayangan khas dokumentari TEKAD: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 di sebuah pawagam di Subang Jaya, pada malam Khamis.

Dokumentari berkenaan merakamkan perjalanan dua pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok, 47, atau lebih dikenali sebagai Kicok dan Chew Wei Ngor, 56, yang lebih popular dengan panggilan Margaret, dalam menguji ketahanan fizikal dan mental bagi merealisasikan impian mencapai puncak Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia.

Sebelum tayangan bermula, baginda berkenan menerima persembahan Jalur Gemilang yang pernah dikibarkan Mohd Khafiz di puncak Everest, selain menerima senaskhah buku nukilannya bertajuk Misi K2: Pendakian Ironman Malaysia ke Puncak Gunung Paling Berbahaya di Dunia.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil dan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan SD Guthrie Berhad, Shahrizan Aini Shamsul Khalil.

Diterbitkan Rack Focus Films dan Red Communications serta diarahkan Ahmad Yazid, dokumentari itu memberikan gambaran mengenai cabaran fizikal dan mental yang dihadapi pasukan ekspedisi ketika mengharungi persekitaran ekstrem di Banjaran Himalaya.

Marwan Murshid pula bertindak sebagai pengarah fotografi, manakala kru produksi mengikuti perjalanan pasukan ekspedisi sehingga ke Everest Base Camp (EBC).

Rakaman perjalanan Mohd Khafiz selepas meninggalkan EBC menuju ke puncak pula dilakukan sendiri oleh beliau bersama Sherpa yang mengiringinya, dengan kedua-duanya merakamkan visual sepanjang pendakian.

Sepanjang lebih 40 hari berada di EBC pada ketinggian kira-kira 5,300 meter dari paras laut, pasukan ekspedisi berdepan suhu serendah hampir -25 darjah Celsius, selain komplikasi kesihatan akibat altitud tinggi dan keadaan gunung yang tidak menentu.

Antara cabaran paling berbahaya yang terpaksa ditempuhi ialah Khumbu Icefall, iaitu kawasan glasier tidak stabil yang perlu dilalui pendaki dalam perjalanan menuju puncak Everest.

Mohd Khafiz akhirnya berjaya mencapai puncak Everest selepas mengharungi pendakian terakhir selama kira-kira 12 jam, meskipun keadaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa berdepan tiupan angin sehingga 40 kilometer sejam.

Margaret pula berjaya mencapai Kem Empat pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari paras laut sebelum kesesakan teruk di laluan menuju puncak memaksanya menghentikan pendakian.

Dokumentari TEKAD: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 akan ditayangkan secara eksklusif menerusi Astro saluran 100 pada 13 September ini, jam 8 malam, bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved