Tengku didakwa tipu bagi dapatkan gelaran Datuk Negeri Sembilan

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 1:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tengku didakwa tipu bagi dapatkan gelaran Datuk Negeri Sembilan
Tengku Ahmad Ariff Mulia dibawa polis ke Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat.

SEREMBAN - Seorang lelaki keturunan 'Tengku' didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menipu bagi mendapatkan pingat kebesaran Negeri Sembilan yang membawa gelaran 'Datuk' melibatkan kerugian lebih RM60,000 tahun lalu.

Tertuduh, Tengku Ahmad Ariff Mulia Tengku Daeng Bahaismail, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM64,500.

Bayaran itu untuk menguruskan bagi mendapatkan pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Ke-78 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Tertuduh telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tersebut yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Nuri Indah, di sini di antara 30 Mac hingga 6 Disember 2025.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Peguam, Chrysandy Lai menyebut bagi pihak Tetuan Rivera, Rosli & Co memohon jaminan munasabah atas alasan tertuduh kini tidak bekerja dan menjaga ibunya manakala bapanya baharu meninggal dunia.

Ujarnya, mangsa dalam kes berkenaan adalah kenalan kepada ahli keluarga tertuduh dan kejadian itu dipercayai akibat salah faham.

Malah katanya, beliau difahamkan kes terbabit akan diselesaikan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dan sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Jun depan bagi serahan dokumen.