TITAH-TITAH yang dizahirkan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, mutakhir ini memperlihatkan satu perkembangan yang amat penting dalam landskap ketatanegaraan Malaysia, iaitu kebangkitan semula wacana federalisme dan tuntutan supaya hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dinilai semula secara lebih adil dan seimbang.
Jelas bahawa titah-titah ini muncul daripada realiti bahawa banyak negeri merasakan mereka menanggung tanggungjawab besar terhadap pembangunan ekonomi, pemeliharaan sumber asli, keselamatan makanan, alam sekitar dan kesejahteraan rakyat, namun kuasa fiskal dan kewangan sebenar terlalu tertumpu kepada Kerajaan Persekutuan.
Dalam titahnya di Dewan Negeri Pahang pada 8 Mei 2026, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah secara terbuka menzahirkan rasa prihatin terhadap “keadilan undang-undang Persekutuan yang tidak berpihak pada hak-hak negeri saya.”
Baginda turut mengingatkan bahawa Pahang merupakan antara empat negeri terawal membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan hasil negeri-negeri tersebut pada asalnya disatukan serta diagihkan semula mengikut kesesuaian negeri masing-masing.
Titah ini amat signifikan kerana ia membawa maksud bahawa konsep federalisme asal di Tanah Melayu sebenarnya dibina atas semangat perkongsian kuasa dan hasil antara pusat dengan negeri, bukannya pemusatan mutlak kuasa fiskal di tangan Kerajaan Persekutuan.
Lebih penting, baginda menegaskan bahawa Pahang telah melakukan pengorbanan besar dalam mengekalkan kawasan hutan, biodiversiti, gunung-ganang dan kawasan tadahan hujan yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem Semenanjung Malaysia.
Hujah ini sangat kukuh kerana negeri-negeri seperti Pahang sebenarnya menyediakan “perkhidmatan ekologi” kepada negara. Mereka menanggung kos pemeliharaan hutan dan alam sekitar demi kepentingan nasional, tetapi pulangan ekonomi yang diterima sering kali tidak setimpal.
Titah baginda mengenai eksport pasir sungai juga mempunyai asas perlembagaan yang jelas. Baginda melahirkan rasa kecewa apabila usaha Negeri Pahang untuk meningkatkan hasil melalui eksport pasir sungai tidak diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sedangkan urusan tanah dan pasir merupakan hak negeri.
Perkara ini sebenarnya berkait rapat dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan tanah, hutan dan kerajaan tempatan di bawah Senarai Negeri. Ini bermakna negeri mempunyai bidang kuasa penting terhadap sumber asli dalam sempadannya sendiri.
Maka apabila negeri merasakan kuasa tersebut disempitkan oleh dasar atau kawalan pusat, timbul persepsi bahawa federalisme Malaysia semakin tersasar daripada semangat asal Perlembagaan.
Apa yang lebih menggambarkan keseriusan perkara ini ialah apabila Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memberi bayangan bahawa Negeri Pahang mungkin mengambil tindakan terhadap Kerajaan Persekutuan dan meminta penasihat undang-undang negeri mengkaji tindakan yang boleh diambil.
Dari sudut perundangan, beberapa bentuk tindakan sebenarnya boleh dipertimbangkan oleh sesebuah negeri. Antaranya ialah semakan kehakiman terhadap keputusan Kerajaan Persekutuan sekiranya negeri berpendapat tindakan tersebut melampaui kuasa Persekutuan atau bercanggah dengan pembahagian kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan.
Negeri juga boleh membawa pertikaian perlembagaan terus ke Mahkamah Persekutuan di bawah bidang kuasa asal mahkamah tersebut melibatkan pertikaian antara Persekutuan dan negeri.
Selain itu, negeri boleh menuntut semakan semula formula pemberian kewangan di bawah Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara. Negeri-negeri juga boleh menekan supaya diwujudkan formula “equalization grant” seperti di negara federal lain yang mengambil kira keluasan negeri, tahap kemiskinan, tanggungjawab alam sekitar, kos logistik dan jurang pembangunan, bukan sekadar jumlah penduduk semata-mata.
Apa yang dibangkitkan oleh Tunku Mahkota Ismail pada 30 April 2026 pula lebih menjurus kepada persoalan autonomi fiskal dan kemampuan negeri berdikari tanpa terlalu bergantung kepada pusat. Baginda secara konsisten menuntut supaya sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai Johor dipulangkan semula kepada negeri tersebut.
Hujah baginda berasaskan realiti bahawa Johor merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara tetapi pulangan yang diterima negeri tidak setimpal dengan keperluan pembangunan yang pesat. Baginda juga menzahirkan rasa kecewa terhadap kelewatan projek seperti Hospital Pasir Gudang, gangguan sistem autogate di BSI dan KSAB serta kelewatan projek tebatan banjir.
Dalam satu titah lain terdahulu pada 2024, baginda malah menyarankan pembentukan “Gabungan Bangsa Johor” agar negeri itu tidak terus menjadi “pengemis” kepada Kerajaan Pusat. Apa yang menarik, baginda turut merujuk kepada model Sarawak sebagai contoh bagaimana sesebuah negeri boleh memperjuangkan haknya secara lebih tersusun. Ini sangat penting kerana Sabah dan Sarawak sememangnya menikmati kedudukan khas di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa yang jauh lebih luas dalam beberapa bidang seperti imigresen, kawalan tanah, hasil tertentu dan pentadbiran tempatan. Kedua-dua negeri juga memperoleh pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Malah kebelakangan ini, Sarawak berjaya memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga dan petroleum melalui rundingan politik yang agresif dengan Kerajaan Persekutuan.
Keadaan ini menyebabkan negeri-negeri di Semenanjung mula melihat bahawa model federalisme Malaysia sebenarnya boleh diubah dan dirunding semula jika wujud kekuatan politik serta kesepakatan negeri.
Dalam konteks Kedah pula, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam titahnya pada 13 April 2026 membangkitkan soal pengorbanan negeri itu mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda. Baginda menegaskan bahawa pengorbanan tersebut wajar diberikan insentif kewangan oleh Kerajaan Persekutuan.
Hujah ini mempunyai asas yang amat kuat kerana Kedah bukan sahaja menjaga keselamatan makanan negara sebagai jelapang padi utama, tetapi juga memelihara sumber air kritikal untuk beberapa negeri lain. Maka tidak munasabah jika negeri yang menanggung beban pemeliharaan tersebut tidak menerima pampasan fiskal yang setimpal.
Baginda juga mahu keistimewaan asal Langkawi sebagai pulau bebas cukai dikembalikan sepenuhnya bagi menghidupkan semula sektor pelancongan dan ekonomi tempatan. Ini menunjukkan bahawa negeri-negeri kini semakin lantang mempersoalkan dasar pusat yang dilihat menjejaskan kapasiti ekonomi negeri.
Sebenarnya, secara teori, Malaysia ialah sebuah negara federal. Namun dari sudut praktik, Malaysia sering dianggap antara sistem federal paling berpusat di Asia. Sebahagian besar hasil utama seperti cukai pendapatan, cukai korporat dan duti eksais dikutip oleh Kerajaan Persekutuan. Negeri pula banyak bergantung kepada premium tanah, balak, pasir dan geran pusat.
Situasi ini sangat berbeza dengan negara federal lain seperti Kanada, Australia dan Jerman. Di Kanada, wilayah mempunyai autonomi luas terhadap sumber asli dan percukaian tertentu. Di Australia pula, wujud sistem ‘equalization grant’ yang memastikan negeri-negeri kurang maju tidak tertinggal. Di Jerman pula, sistem perkongsian hasil cukai antara pusat dan wilayah jauh lebih tersusun dan seimbang.
Malaysia pula masih mengekalkan model yang sangat tertumpu kepada pusat sehingga banyak negeri merasakan mereka terlalu bergantung kepada kelulusan Putrajaya untuk melaksanakan pembangunan asas.
Sebab itu, titah-titah Raja-Raja Melayu ini perlu dilihat bukan sebagai ancaman kepada Persekutuan, tetapi sebagai satu ingatan bahawa federalisme Malaysia memerlukan reformasi yang serius dan matang.
Perbincangan mengenai reformasi federalisme tidak perlu menimbulkan kebimbangan kerana tidak ada pun negeri yang mahu memisahkan diri daripada Malaysia. Sebaliknya, apa yang mereka mahu hanyalah mengembalikan semangat asal Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf negeri sebagai rakan penting dalam pembentukan negara.
Untuk itu, sesuai dengan nada ini maka sudah tiba masanya Malaysia meneliti semula formula pemberian kewangan negeri, memperkukuh kuasa fiskal negeri, memperkenalkan model pampasan ekologi untuk negeri yang memelihara hutan dan tadahan air serta mengurangkan birokrasi pusat dalam projek pembangunan negeri.
Jika perkara ini gagal ditangani, maka rasa tidak puas hati negeri terhadap pusat akan terus meningkat dan akhirnya menjejaskan kestabilan hubungan Persekutuan–Negeri dalam jangka panjang.
*Misrinah Misban ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)






