Tengku Hassanal labur AS$552,500 dalam syarikat teknologi Sagtec Global

LocalTechnology
18 Sep 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tengku Hassanal labur AS$552,500 dalam syarikat teknologi Sagtec Global Image from: Tengku Hassanal labur AS$552,500 dalam syarikat teknologi Sagtec Global hamden18/09/2026 - 15:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Sept - Sagtec Global Limited (SAGT), penyedia rumusan perisian berbantu kecerdasan buatan (AI), menerima pelaburan strategik AS$552,500 (kira-kira RM2.3 juta) daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Sagtec dalam satu kenyataan berkata Tengku Hassanal bersetuju melanggan 850,000 saham biasa Kelas A syarikat itu pada harga AS$0.65 sesaham menerusi penempatan persendirian strategik.

 

Penyempurnaan penempatan itu tertakluk kepada syarat penyempurnaan lazim, termasuk kelulusan lembaga pengarah serta pematuhan terhadap undang-undang sekuriti dan keperluan Nasdaq yang berkenaan.

 

 

 

 

 

Pada masa penyempurnaan, Sagtec akan menerbitkan saham tersebut kepada Tengku Hassanal, manakala jumlah langganan keseluruhan perlu dibayar dalam tempoh enam bulan selepas tarikh penerbitan.

 

Pelabur berkenaan boleh membayar keseluruhan atau sebahagian jumlah langganan sebelum tarikh akhir pembayaran tanpa dikenakan penalti.

 

Sagtec berkata penempatan itu menyediakan modal ekuiti tambahan tanpa meningkatkan pinjaman syarikat atau mewujudkan kewajipan pembayaran faedah dan prinsipal secara berjadual.

 

Hasil penempatan akan digunakan bagi menyokong pengkomersialan penyelesaian berbantu AI, pelaksanaan projek teknologi perusahaan serta peluang pertumbuhan serantau terpilih.

 

Ia turut digunakan untuk pembangunan platform teknologi perusahaan, penambahbaikan infrastruktur awan, pangkalan data dan pelayan, aktiviti pembangunan perniagaan serta pemerolehan pelanggan di Malaysia dan pasaran Asia Tenggara.

 

Pelaburan mencerminkan keyakinan

Selain itu, dana berkenaan akan menyokong pengembangan keupayaan teknikal, komersial dan pengurusan projek, modal kerja serta inisiatif strategik, kerjasama dan peluang pengembangan perniagaan.

 

Menurut Sagtec, tambahan modal itu dijangka membolehkannya bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap peluang komersial, menyokong penggunaan berskala lebih besar oleh pelanggan dan mempercepat pelaksanaan projek yang berpotensi menjana pendapatan daripada perisian, perkhidmatan awan, data serta perkhidmatan teknologi terurus.

 

Tengku Hassanal berkata Malaysia mempunyai bakat dan keupayaan untuk membangunkan syarikat teknologi yang mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

 

"Saya percaya Sagtec mempunyai potensi yang besar untuk menyumbang kepada kemajuan ini menerusi usaha syarikat dalam bidang kecerdasan buatan, perisian perusahaan dan infrastruktur digital.

 

"Pelaburan saya mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju syarikat, pengurusan dan potensi pertumbuhan jangka panjangnya," titah baginda.

 

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sagtec, Ng Chen Lok berkata syarikat amat berbesar hati mengalu-alukan Tengku Hassanal sebagai pelabur strategik.

 

"Pelaburan ini mencerminkan keyakinan yang bermakna terhadap visi, keupayaan teknologi dan hala tuju perniagaan jangka panjang kami.

 

"Modal tambahan ini mengukuhkan fleksibiliti kewangan kami dan akan menyokong usaha berterusan untuk mengkomersialkan penyelesaian berbantu AI, meningkatkan infrastruktur teknologi serta melaksanakan projek perusahaan," katanya.

 

Ng berkata keutamaan syarikat adalah menggunakan modal tersebut secara berhemah bagi inisiatif yang mampu menjana pendapatan mampan, memperkukuh hubungan dengan pelanggan serta mengembangkan perniagaan perisian dan perkhidmatan teknologi berulang.

 

Saham biasa Kelas A yang diterbitkan menerusi penempatan persendirian itu tidak didaftarkan di bawah Akta Sekuriti Amerika Syarikat 1933 dan diterbitkan berdasarkan pengecualian pendaftaran yang berkenaan.

 

 

 

 

 

Saham tersebut merupakan sekuriti terhad dan tidak boleh ditawarkan atau dijual di Amerika Syarikat tanpa pendaftaran atau pengecualian yang berkenaan daripada keperluan pendaftaran di bawah Akta Sekuriti.

 

Kenyataan berkenaan tidak merupakan tawaran untuk menjual atau permintaan tawaran untuk membeli mana-mana sekuriti. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved