KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa beliau menandatangani surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencadangkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dipercepatkan.
Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-11 berkata demikian dalam perbicaraan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tengku Zafrul berkata, surat bertajuk ‘Cadangan Mempercepatkan Pelaksanaan Projek Melalui Pengenalan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Sebagai Program Khas Untuk Pembangunan Bumiputera’ bertarikh 23 Julai 2020 dihantar kepada Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri.
Katanya, ia bagi mendapatkan persetujuan terhadap pelaksanaan program khas pembangunan Bumiputera berkenaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berusia 53 tahun itu berkata, surat berkenaan mencadangkan projek-projek tertentu dapat dipercepatkan selain memperkukuh penglibatan bumiputera dalam industri pembinaan.
“Saya sahkan dirujuk kepada surat ini, ia ditandatangani oleh saya ketika itu selaku Menteri Kewangan.
“Surat ini untuk dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri bagi mencadangkan mempercepatkan pelaksanaan projek melalui pengenalan itu,” katanya dalam pernyataan saksi.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul mengesahkan tidak menerima sebarang keuntungan peribadi atau ganjaran kewangan ketika mencadangkan pelaksanaan projek berkenaan dipercepatkan.
Beliau turut berkata, sekiranya Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan surat cadangan tersebut, sudah tentu Program Jana Wibawa tidak akan dilaksanakan.
Ahli Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, berdasarkan surat berkenaan, Kementerian Kewangan turut mencadangkan supaya penglibatan Bumiputera dalam bidang industri pembinaan dimantapkan lagi dengan menstrukturkan semula pakej galakan sedia ada.
Katanya, Jana Wibawa dikhaskan kepada kontraktor Bumiputera berwibawa dan berprestasi tinggi yang melepasi penilaian Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (Score) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan penarafan tiga hingga lima bintang.
Menurutnya, kementerian yakin program berkenaan mampu memanfaatkan komuniti kontraktor Bumiputera dengan meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.
Tengku Zafrul berkata, Muhyiddin kemudian telah menurunkan minit pada surat cadangan itu dengan menyatakan, “Segerakan. Saya bersetuju dengan cadangan program Jana Wibawa ini” pada 3 Ogos 2020.
Beliau memberitahu, sekitar suku kedua tahun 2020, terdapat perbincangan bersama Muhyiddin berhubung usaha merangka satu program untuk merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera dan sektor pembinaan negara ketika krisis pandemik Covid-19.
Susulan itu katanya, program Jana Wibawa diwujudkan bagi merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera serta merancakkan sektor pembinaan negara susulan kesan negatif pandemik.
“Secara tidak langsung Tan Sri Muhyiddin mempunyai kepentingan kepada Program Jana Wibawa kerana beliau yang memberi saranan kepada Kementerian Kewangan untuk mengkaji program pembangunan Bumiputera ini,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.
Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.
Pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung Selasa.






