
BAGI anak perantau Pantai Timur, sebut sahaja soal balik kampung, dalam kepala pasti terbayang perkhidmatan bas ekspres di Terminal Bersepadu Gombak (TBG), Terminal Bersepadu Selatan (TBS) atau terminal-terminal lain di Lembah Klang.
Selama berpuluh tahun, bas ekspres menjadi talian hayat untuk pulang selain menaiki pesawat bagi yang mampu. Namun, dengan pengumuman rasmi operasi ECRL bakal bermula 12 Disember nanti, landskap ‘balik kampung’ bakal berubah 180 darjah.
Melalui khidmat ECRL, perjalanan antara Gombak ke Kota Bharu nanti hanya akan mengambil masa 4 jam. Bayangkan pada musim perayaan, mungkin ECRL adalah pilihan terbaik untuk perjalanan selesa tanpa perlu meredah kesesakan teruk berbelas jam.
Persoalannya sekarang, adakah ECRL yang mampu meluncur sehingga 160 kilometer sejam itu bakal menjejaskan riwayat perkhidmatan bas ekspres? Berdasarkan kepada jualan tiket harian, terdapat lebih daripada 30 syarikat bas ekspres yang menggantungkan periuk nasi mereka pada laluan ke Kelantan, Terengganu dan Pahang setiap hari.
Nama-nama besar seperti Ekspres Perdana, Ekspres Mutiara, Sani Express dan Maraliner bertarung setiap hari berebut ratusan ribu penumpang. Bila ECRL mula beroperasi bagi laluan Gombak ke Kota Bharu dengan masa perjalanan hanya empat jam, ia satu tamparan hebat kepada operator bas ekspres.
Bagi perjalanan hari biasa pun bas ekspres ambil masa sekitar lapan jam, kalau musim perayaan, boleh cecah lebih14 jam tersangkut atas jalan raya. Dalam konteks ini, servis ECRL seharusnya menjadi pilihan ramai khususnya pada musim perayaan.
Dari segi harga, ramai yang bising bila tambang transit ECRL diumumkan bermula RM125 sehala. Memang betul, tiket bas biasa baru sekitar RM50. Tapi bagi perantau bujang yang sudah penat bekerja, apalah sangat bayar lebih sedikit untuk perjalanan yang cepat dan selesa.
Pun begitu, ECRL turut mempunyai kekurangan kerana satu-satu stesennya di ibu negara ialah di TBG. Ia mungkin tidak menjadi masalah kepada mereka yang tinggal di kawasan berdekatan terminal itu, tetapi bagi mereka yang tinggal jauh dari Gombak seperti Shah Alam, Bangi dan lain-lain mungkin sedikit sukar kerana jarak stesennya yang jauh.
Di sini perkhidmatan bas ekspres mempunyai kelebihan kerana mereka menyediakan perkhidmatan terus ke bandar-bandar utama seperti TBG, TBS, Shah Alam, Klang, Putrajaya, Bangi, malah sehingga ke Nilai atau Seremban. Senang cerita perkhidmatan bas ekspres boleh bawa penumpangnya hampir ke depan pintu, sedangkan ia tidak boleh dilakukan oleh ECRL.
Dengan kelebihan ini rasanya 30 operator bas ekspres masih boleh terus beroperasi seperti biasa lebih-lebih lagi tambang tambang mereka lebih kompetatif berbanding ECRL. Selain itu, strategi-strategi baru untuk menarik penumpang juga perlu dilakukan supaya perkhidmatan bas ekspres terus relevan kepada orang ramai.
Persaingan baharu ini sebenarnya satu ‘rahmat’ besar buat rakyat marhaen. Sebelum ini, bila tiba musim raya, ada sahaja taktik ejen ulat tiket yang menaikkan harga sesuka hati. Sekarang, dengan adanya ECRL yang mampu mengangkut sehingga 10,000 penumpang sehari, syarikat bas terpaksa bersaing secara sihat termasuk menawarkan diskaun atau menaik taraf keselesaan bas mereka.
Apa pun kita berharap, perkhidmatan bas ekspres tidak akan terkubur dengan beroperasinya servis ECRL nanti, sebaliknya ia akan memberi lebih pilihan kepada orang ramai untuk memilih perkhidmatan terbaik dan sesuai dengan kemampuan masing-masing untuk perjalanan ke Pantai Timur.
Harapannya, ECRL tidak akan membunuh industri bas ekspres secara total, tetapi ia mungkin satu isyarat kepada industri bas ekspres untuk berubah menjadi lebih baik. Zaman bas usang, aircond rosak dan pemandu bawa macam pelesit sudaj tidak sepatutnya berlaku lagi. -KOSMO! ONLINE
The post Terancamkah bas ekspres dengan operasi ECRL? appeared first on Kosmo Online.





