
KOTA BHARU – Kedudukan strategik Lembah Sireh menjadi antara pilihan lokasi transit sindiket untuk mendaratkan dan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi tertentu di seluruh negara bagi mencari pekerjaan.
Kewujudan Terminal Bas Kota Bharu di situ yang menghubungkan dengan pelbagai destinasi selain kedudukannya berhampiran Sungai Kelantan, memudahkan sindiket mengatur perjalanan PATI pada waktu malam dan awal pagi.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kemudahan pengangkutan awam di Lembah Sireh berpotensi disalahgunakan oleh pihak tertentu terutamanya sindiket untuk menghantar PATI mengikut jadual.
Katanya, kawasan itu sentiasa diberi perhatian ekoran pengesanan kegiatan kemasukan migran di tebing sungai berhampiran Kampung Lembah Sireh.
“Sungai dan terminal mungkin memainkan peranan berbeza dalam pergerakan migran di mana masing-masing menjadi laluan masuk dan meneruskan perjalanan ke destinasi lain.
“Siasatan mendapati Lembah Sireh menjadi lokasi transit bagi kebanyakan warga asing. Soal siasat ke atas lelaki Rohingya yang dicekup di situ bulan lalu mendedahkan dia mahu menaiki bas ke Permaisuri, Setiu, Terengganu untuk bekerja,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Ahmad Radzi, selain itu sembilan warga Bangladesh yang ditahan di Wakaf Bharu, Tumpat baru-baru ini juga dipercayai dalam perjalanan menuju ke Terminal Bas Kota Bharu sebelum meneruskan perjalanan mencari pekerjaan selepas tamat kontrak kerja di Kemboja.
Tambahnya, kebanyakan etnik Rohingya membayar RM15,000 kepada ejen untuk sampai ke sini dan ia menjadikan terminal bas itu menjadi antara lokasi penyeludupan migran walaupun menggunakan laluan dan destinasi berbeza.
“Meskipun mereka menggunakan perkhidmatan bas ekspres, ingin saya tegaskan bahawa situasi itu tidak bermaksud pengusaha atau syarikat bas terbabit terlibat dengan kegiatan penyeludupan atau memindahkan PATI,” katanya.
Ujar Ahmad Radzi, sindiket bergerak pada waktu malam dan awal pagi kerana keadaan persekitaran yang lebih gelap dan kurang mendapat perhatian.
“Jangka masa pukul 10 hingga 10.30 malam merupakan tempoh pergerakan bas ekspres keluar dari Kelantan. Jadi banyak kegiatan memindahkan PATI dilakukan pada waktu itu,” katanya.
Menurut Ahmad Radzi, semakan rekod mendapati seorang warga Myanmar dicekup di Lembah Sireh pukul 10.30 malam pada September lalu. Dalam kes berasingan pada Mei lalu, dua warga India dan seorang warga Bangladesh turut ditahan di kawasan tersebut.
Tambahnya, penguatkuasaan di terminal pengangkutan awam perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan operasi syarikat bas.
“Ia bukan bermakna kawasan terminal bas tidak selamat atau berlaku kelemahan kawalan, tetapi lokasi sedemikian berpotensi menjadi sasaran penyalahgunaan sindiket,” katanya.
Ujar Ahmad Radzi, siasatan mendapati pembelian tiket bas ekspres yang dinaiki PATI dipercayai diuruskan oleh individu tertentu.
“Kita menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kaedah pembelian termasuk nama yang didaftarkan pada tiket.
“Walaupun bas menjadi pilihan, tetapi pelbagai jenis kenderaan juga boleh disalahgunakan untuk memindahkan PATI. Bermula dari negara asal, kemasukan PATI diuruskan oleh ejen atau tekong darat ke lokasi transit untuk ke destinasi pekerjaan,” katanya.
Ahmad Radzi memberitahu, PGA sentiasa melaksanakan rondaan, pemantauan, operasi berdasarkan keperluan dan maklumat risikan di kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko kegiatan penyeludupan migran.
The post Lembah Sireh lokasi PATI mendarat, turun bot lompat masuk bas appeared first on Kosmo Online.






