Terbaring Dekat Depan ATM Waktu Malam, Lelaki Maut Tersepit Pintu Tertutup Automatik

Entertainment
2 Jan 2024 • 5:38 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-60 tahun ditemui meninggal dunia di hadapan pintu masuk ruang mesin ATM dekat sebuah cawangan bank di Kota Kemuning, Shah Alam awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihak polis menerima laporan daripada orang awam berhubung dengan seorang lelaki ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 7.29 pagi.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian mendapati mangsa yang berusia sekitar 50-an ke 60-an itu berbaring di hadapan pintu masuk ke ruang mesin ATM dipercayai dalam keadaan mabuk pada jam 11.48 malam, semalam.”

“Pada 12.01 tengah malam, pintu ‘shutter’ (gelangsar) ruang mesin ATM itu tertutup secara automatik menyebabkan leher mangsa tersepit antara pintu shutter dan lantai sebelum ia terbuka (secara automatik) semula pada jam 6 pagi.”

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.”

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan ke atas badan si mati mendapati bahawa mangsa tiada kecederaan lain. Malah, si mati juga tidak mempunyai sebarang dokuman pengenalan diri dan tiada unsur jenayah dalam kes ini.

“Siasatan dijalankan sebagai kematian mengejut (Sudden Death Report) dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Shahrul di talian 012-3630512.”

Sebelum ini, tular beberapa gambar menunjukkan seorang lelaki dipercayai sudah meninggal dunia terbaring di hadapan sebuah bank di Kota Kemuning.

Sumber : Berita Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.