
KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan rentak cemerlang pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland apabila mara ke pusingan suku akhir.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Energia Areena sebentar tadi, bekas pemain No.2 dunia itu tidak berdepan banyak masalah ketika menewaskan Su Li Yang dari Taiwan.
Walaupun berdepan lawan yang dianggap sebagai pilihan, namun Zii Jia mempamerkan aksi cukup baik sebelum mencatat kemenangan straight-set 21-17, 21-12 dalam tempoh 46 minit.
Kemenangan tersebut pastinya mampu memberi suntikan semangat buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu selepas mengharungi musim 2026 yang cukup sukar.
Sebagai rekod, ini merupakan suku akhir pertama Zii Jia dalam empat kejohanan terakhir selepas tiga aksi terdahulu menyaksikan dia sekadar menamatkan saingan di pusingan awal.
Menjelang suku akhir esok, bekas juara All England itu akan berdepan pilihan kedua kejohanan dari perancis, Christo Popov yang menewaskan pemain India, Tharun Mannepalli 21-14, 21-19.
Sementara itu, beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin terpaksa meninggalkan kejohanan Jelajah Dunia Super 500 itu lebih awal selepas disingkirkan pasangan Jepun, Akira Koga-Natsu Saito.
Gandingan No.58 itu memberikan tentangan sengit kepada lawan mereka sebelum akur dengan kekalahan tiga set 21-19, 7-21, 11-21 dalam tempoh 61 minit. – KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Arctic: Zii Jia kekal momentum ke suku akhir appeared first on Kosmo Online.






