
GANDINGAN beregu lelaki baharu negara, Aaron Tai-Yap Roy King membawa ‘aura juara’ ke Terbuka Denmark dalam misi meneruskan momentum kecemerlangan selepas melakar sensasi merangkul kejuaraan Terbuka Artik di Finland, kelmarin.
Kejayaan menumpaskan pasangan ranking ke-60 dunia dari Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng 21-19, 21-19 di Vantaa bukan sahaja menghadiahkan gelaran bertaraf Super 500 pertama dalam karier mereka, malah menyuntik tonik keyakinan terbaik menjelang kempen di Odense yang membuka tirai secara rasmi hari ini.
Roy King mengakui kejayaan itu amat bermakna buat mereka berdua dan sendiri masih sukar mempercayai trofi berprestij berkenaan kini berada dalam genggaman mereka.
Menerusi perkongsian di laman media sosial miliknya, pemain berusia 25 tahun itu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terus meletakkan kepercayaan terhadap gandingan mereka.
“Super 500 pertama. Minggu yang luar biasa. Saya masih rasa sukar untuk percaya kami berjaya melakukannya. Dulu saya fikir ia di luar jangkauan menjadi juara, tetapi saya sangat gembira akhirnya berjaya mencapainya. Kepada semua yang menyokong kami selama ini, terima kasih. Kami akan terus berjuang (di Terbuka Denmark),” katanya.
Sementara itu, jurulatih beregu negara, Herry Iman Pierngadi mengingatkan Aaron-Roy King bahawa kejayaan itu belum cukup untuk mengukur kemampuan sebenar mereka di pentas antarabangsa.
Menurut Herry, kejohanan di Denmark bakal menjadi medan penting untuk menilai sejauh mana pasangan itu mampu memberikan saingan apabila berdepan lawan yang menghuni kelompok 10 terbaik dunia.
“Saya tahu mereka mempunyai potensi dan beraksi baik untuk memenangi gelaran Super 500 pertama. Tetapi ujian sebenar adalah di Denmark apabila mereka berdepan pasangan kelompok 10 terbaik dunia.
“Di sinilah kita dapat melihat sejauh mana kemampuan mereka apabila berhadapan lawan yang lebih kuat,” katanya.
The post Aaron-Roy King bawa aura ke Denmark appeared first on Kosmo Online.





