Terbuka Perancis: Sze Fei-Nur Izzuddin singkir juara bertahan, mara ke separuh akhir

24 Oct 2026 • 8:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terbuka Perancis: Sze Fei-Nur Izzuddin singkir juara bertahan, mara ke separuh akhir
Sze Fei-Nur Izzuddin menyingkirkan juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Perancis 2026, pada Jumaat.

BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyingkirkan juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Perancis 2026, pada Jumaat.

Pilihan kelima itu memerlukan 36 minit untuk menyingkirkan pilihan utama kejohanan berkenaan 21-15, 21-18 pada aksi suku akhir kejohanan Super 750 di Arena Grand Paris.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang kini menghuni ranking kelima dunia seterusnya akan berdepan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang menewaskan satu lagi gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Lee Jong Min 21-14, 21-19.

Turut ke kelompok empat terbaik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas perlawanan menentang rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terhenti ketika mereka mendahului 5-0,  susulan kecederaan di bahagian kaki yang dialami Wooi Yik.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu dijadualkan berdepan wakil Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang menundukkan pasangan China Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 23-21, 21-18.

Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menewaskan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-12, 21-15.

Pearly-Thinaah dijangka berdepan cabaran getir berdepan pasangan pilihan ketiga dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam aksi separuh akhir.

Terdahulu, pasangan Jepun itu mengetepikan rakan senegara, Ririna Hiramoto-Chiharu Shida 21-18, 16-21, 21-15. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved