Powertechnic sasar RM22.05 juta melalui IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2025 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Powertechnic sasar RM22.05 juta melalui IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

image is not available

06/10/2025 - 15:00

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt – Powertechnic Group Berhad menyasarkan dana sebanyak RM22.05 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia untuk mempercepatkan pelaburan automasi dan mengembangkan operasi dalam bidang kren dan lif.


IPO itu melibatkan 63 juta saham baru pada harga terbitan RM0.35 sesaham.

Hasil yang diperolehi akan digunakan untuk membuka bilik pameran dan pejabat jualan baharu, membeli mesin automasi, membayar balik pinjaman, membiayai modal kerja am, serta menampung kos penyenaraian di Bursa Malaysia.

Powertechnic, yang berpengalaman lebih 23 tahun dalam industri menawarkan rumusan dalam bidang kren dan lif termasuk reka bentuk kejuruteraan, fabrikasi, pemasangan, pentauliahan, serta penyelenggaraan dan pembaikan sistem platform bertingkat.

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan untuk pasaran industri, komersial dan kediaman di Malaysia dan Singapura di bawah jenama Powertechnic.

Pengarah Urusan Powertechnic, Ivan Na Keh Chai berkata, IPO itu akan memperkasakan syarikat untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran melalui automasi, mengukuhkan kehadiran pasaran di Pulau Pinang, Sarawak, Singapura dan Indonesia.

“Pelaburan strategik ini membolehkan syarikat memacu pertumbuhan mampan dan mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan,” katanya.

image is not available

Pengarah Eksekutif Powertechnic, Choo Chee Yong pula berkata, pelancaran prospektus mencerminkan kerja keras pasukan dalam membina perniagaan yang mampan dan berorientasikan pelanggan.

“Melalui hasil IPO, syarikat dapat mengembangkan jejak operasi di seluruh Malaysia dan melabur dalam automasi untuk meningkatkan keupayaan penghantaran serta nilai yang dibawa kepada pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities, Ku Mun Fong berkata, rekod prestasi, model perniagaan dan pengalaman pengurusan Powertechnic meletakkan syarikat pada kedudukan baik untuk pertumbuhan jangka panjang dalam sektor pembinaan dan pembuatan yang berkembang pesat.

Industri peralatan pengangkatan di Malaysia dijangka berkembang sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dengan pertumbuhan sektor perkilangan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan dijangka mencapai CAGR 6.5% hingga 2030, dan peralatan perindustrian am berkembang pada CAGR 8% menjelang 2027.

Keadaan ekonomi Malaysia yang dijangka meningkat antara 4.0% hingga 4.8% pada 2025 dalm sektor pembinaan dan pembuatan, dijangka meningkatkan keperluan untuk rumusan kren dan lif yang cekap dan selamat, memberikan asas kukuh untuk usaha pengembangan Powertechnic.

Permohonan untuk IPO Powertechnic dibuka hari ini dan ditutup pada 14 Oktober 2025 dengan penyenaraian dijangka pada 28 Oktober 2025.

Selepas penyenaraian, permodalan pasaran syarikat dijangka RM108.62 juta berdasarkan harga terbitan dan jumlah saham yang diperbesarkan. - DagangNews.com

standard