
KUALA NERUS – Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk kembali meraih tiga mata masih tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Brunei DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini sebentar tadi.
Penyerang DPMM FC, Dalberto muncul pemusnah impian skuad Penyu apabila meledak dua gol termasuk jaringan kemenangan pada minit ke-80 untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan pelawat.
Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain terus dibelenggu kemarau kemenangan selepas kali terakhir meraih tiga mata hanya ketika aksi pembukaan Liga Super musim ini.
Lebih mengecewakan, TFC yang terlebih dahulu berada di depan pada separuh masa pertama gagal mempertahankan kelebihan tersebut sebelum dihukum jaringan kemenangan pelawat ketika perlawanan berbaki 10 minit.
Terdahulu, TFC membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pemain import kelahiran Sepanyol, Victor Ruiz pada minit ke-40.
Sepakan penalti itu diberikan pengadil, S. Logeswaran selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan insiden membabitkan pemain import TFC, Manuel Ott dan penjaga gol DPMM FC, Sam Somerville.
Kegembiraan skuad Penyu tidak bertahan lama apabila DPMM FC hanya memerlukan tiga minit selepas babak kedua bermula untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Dalberto pada minit ke-48.
Skuad Penyu berpeluang kembali mendahului perlawanan menerusi percubaan Mateusinho dan Ubaidullah Shamsul pada minit ke-73 dan 75 namun gagal menemui sasaran.
Ketika TFC semakin terdesak memburu jaringan kemenangan, Dalberto sekali lagi menghukum kelalaian benteng pertahanan tuan rumah menerusi jaringan kedua peribadinya pada minit ke-80.
Pemain kelahiran Brazil itu melakukan larian solo sebelum mudah memperdayakan barisan pertahanan TFC dan menewaskan penjaga gol tuan rumah untuk meletakkan pelawat di depan 2-1. – KOSMO! ONLINE
The post Terengganu FC kempunan, Dalberto julang DPMM FC appeared first on Kosmo Online.






