
KAJANG – Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan kadar penagihan serta penyalahgunaan dadah dan bahan tertinggi di negara ini berdasarkan statistik sehingga Jun lalu.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, sebanyak 130,307 kes penyalahgunaan dadah dan bahan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan, bersamaan kadar 381 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Menurut beliau, Terengganu mencatatkan kadar tertinggi iaitu 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kelantan (694), Kedah (669) dan Perlis (646).
Statistik berkenaan disediakan berdasarkan data bersepadu daripada empat sumber utama iaitu AADK, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Pusat Pemulihan Persendirian.
“Faktor geografi termasuk laluan penyeludupan rentas sempadan turut dikenal pasti sebagai antara faktor risiko yang mempengaruhi masalah dadah di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 242 program pencegahan dan kesedaran awam dilaksanakan dengan penyertaan keseluruhan 16,408 orang, termasuk 228 program di Terengganu, Kelantan dan Kedah yang melibatkan lebih 16,000 peserta.
Sementara itu, sebanyak 4,253 operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara sehingga 18 Oktober lalu, dengan seramai 30,157 individu ditahan untuk menjalani program rawatan dan pemulihan.
Ruslin berkata, AADK turut memberi keutamaan kepada rawatan dan pemulihan secara sukarela bagi membantu individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, purata individu yang tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan meningkat daripada 75 orang sebulan pada 2025 kepada 232 orang sebulan tahun ini.
“Peningkatan ini menunjukkan perkembangan positif susulan pelaksanaan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Terengganu, Kelantan ‘juara’ kes penyalahgunaan dadah appeared first on Kosmo Online.






