Terengganu kembali kuasai ujian masa

17 Aug 2026 • 8:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Terengganu kembali kuasai ujian masa

SEPANG: Selepas sedekad menanti, Terengganu akhirnya kembali menguasai acara ujian masa berpasukan wanita apabila kuintetnya meraih emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

Dahlia Hazwani Hasyim, Ameera Alya Md Zahirrudin, Arzi Masturnina Batrisya Arziwami serta adik-beradik Nur Aieris Madhihah dan Nur Aierin Wadhiah Mohd Adni menguasai laluan sejauh 29.5 kilometer (km) dari Bagan Lalang dengan catatan 40 minit 18.909 saat (s).

Johor yang dibarisi Intan Suraya Tokiman, Nurina Qistina Zahraa Dewa Indra, Dania Avriel Alviera Azif, Nurul Balqish Mohd Hissam dan Siti Nurbalqis Akkaradet terpaksa berpuas hati dengan perak selepas ketinggalan 1 minit 33.77s, manakala Kedah meraih gangsa dengan jurang 2 minit 54.92s.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Dahlia yang sebelum ini turut memenangi emas ujian masa individu wanita, apatah lagi acara berkenaan sudah beberapa kali tidak dipertandingkan pada SUKMA dan kali terakhir Terengganu menjuarainya adalah pada edisi Sarawak 2016.

“Kami sangat bangga dapat memenangi emas ini kerana Terengganu sudah lama tidak memenangi acara ini sejak 2016 di Sarawak dan kami benar-benar memberikan segala-galanya hari ini.

“Kami kayuh sekuat hati dan sejujurnya agak terkejut kerana tahu Johor adalah pasukan yang sangat kuat,” kata Dahlia kepada pemberita selepas tamat perlumbaan, hari ini.

Lebih manis, kejayaan itu turut meneruskan legasi Nur Aisyah Mohamad Zubir yang pernah menghadiahkan emas kepada Terengganu dalam acara sama pada SUKMA Sarawak 2016 sebelum muncul antara pelumba ketahanan terbaik negara dan mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama beraksi dalam acara lebuh raya wanita di Olimpik Paris 2024.

Terengganu bagaimanapun terpaksa akur dalam acara ujian masa berpasukan lelaki apabila Selangor muncul juara dengan kelebihan 17s

Terengganu kini mengintai peluang menambah koleksi dua emas dan satu perak yang sudah diraih apabila pelumbanya kembali turun dalam perlumbaan lepas beramai-ramai lelaki serta kriterium wanita, esok. – UTUSAN

The post Terengganu kembali kuasai ujian masa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved