Sukma 2026: Dahlia Hazwani jelmaan Aisyah Zubir

17 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Dahlia Hazwani jelmaan Aisyah Zubir

PELUMBA basikal lebuh raya wanita, Dahlia Hazwani Hasyim meninggalkan pentas Sukan Malaysia (Sukma) dengan penuh sensasi apabila pelumba Terengganu itu menghadiahkan emas menerusi acara ujian masa individu wanita dengan catatan peribadi terbaik di Sepang, semalam.

Lebih manis, catatan 31 minit, 7.044 saat (s) berkenaan turut menghampiri masa terbaik yang pernah dilakar jaguh berbasikal negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir dalam acara sama pada edisi terdahulu, sekali gus memberi bayangan Dahlia mampu meneruskan legasi pelumba berkenaan.

Pada saingan sejauh 23 kilometer tersebut, Dahlia berjaya mengatasi dua pelumba dari Johor, Intan Suraya Tokiman yang meraih perak dengan catatan 31:18.338s dan Nurina Qistina Zahraa Dewa Indra melengkapkan kedudukan podium selepas merekodkan 32:37.589s.

Ketua Jurulatih Berbasikal Terengganu, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan berkata, prestasi Dahlia berada pada tahap terbaik selepas pelumba berusia 20 tahun itu menjalani persiapan khusus di Chiang Mai, Thailand dengan penekanan terhadap aspek kelajuan.

“Catatan Dahlia ini memang amat laju dan sepanjang saya menjadi jurulatih Malaysia atau negeri, catatan ini boleh dikatakan nombor dua terbaik di belakang Aisyah Zubir kerana catatan Aisyah pada Sukma sebelum ini sedikit lebih pantas,” katanya.

Menurutnya, catatan yang dilakar Dahlia itu merupakan rekod peribadi terbaiknya dan membuktikan latihan khusus yang dijalani sebelum temasya mula membuahkan hasil.

“Ini memang rekod peribadi Dahlia. Di Chiang Mai kami banyak memberi fokus kepada kelajuan khusus untuk mencapai sasaran. Kami menggunakan catatan Aisyah sebagai panduan dalam persiapan,” katanya.

Dahlia dijangka terus menjadi antara sandaran Terengganu untuk menambah koleksi emas apabila dia masih mempunyai beberapa acara untuk disertai termasuk ujian masa berpasukan, berlepas beramai-ramai, kriterium dan acara trek.

 

The post Sukma 2026: Dahlia Hazwani jelmaan Aisyah Zubir appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved