Terengganu Marathon: Kakitangan jabatan agama menang RM100,000

2 May 2026 • 2:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terengganu Marathon: Kakitangan jabatan agama menang RM100,000
Muhamad Asyraf memenangi hadiah cabutan bertuah wang tunai bernilai RM100,000 sempena Terengganu Marathon 2026 yang diadakan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di Kuala Nerus pada Sabtu.

KUALA NERUS - Seorang pemuda dari Kedah tidak menyangka perjalanan jauh menaiki bas selama kira-kira 10 jam membuahkan hasil lumayan apabila memenangi hadiah utama cabutan bertuah berjumlah RM100,000.

​Muhamad Asyraf Abu Bakar, 28, yang merupakan peserta Terengganu Marathon 2026 menyifatkan kemenangan itu sebagai detik paling bermakna dalam hidup kerana pada mulanya dia berhasrat menyertai acara tersebut sekadar untuk 'suka-suka'.

​Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia tekad menempuh perjalanan jauh dari Baling, Kedah demi menyertai larian tersebut selepas mengetahui mengenainya melalui media sosial.

​"Saya sebenarnya datang sekadar suka-suka dan ini kali pertama saya menyertai larian sejauh 21 kilometer (km) dan acara paling besar pernah saya sertai setakat ini.

​"Saya hanya berlatih dua atau tiga kali seminggu kerana niat asal hanya mahu bersantai. Saya sampai ke Terengganu pada Khamis lepas bersama rakan, Mohd Najmi Mohd Yusof, 27," katanya ketika ditemui pada majlis penutup Terengganu Marathon 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini pada Sabtu.

​Menceritakan detik sebelum namanya diumumkan, Muhamad Asyraf yang masih bujang mengakui hampir terlepas peluang keemasan itu kerana sudah bersiap-siap untuk pulang ke tempat penginapan.

​"Saya langsung tidak tahu hadiah yang ditawarkan sebab sebelum nama saya dipanggil, ada dua lagi nama yang dah dipanggil tapi tiada yang tampil. Waktu nama saya diumumkan, saya memang terkejut. Memang betul, rezeki tak salah alamat.

​"Saya juga bersyukur kerana sebelum datang ke sini, saya sudah memaklumkan kepada mak dan ayah untuk meninggalkan mereka seketika demi acara ini dan dapat restu mereka untuk datang ke sini," katanya yang menaiki bas dari Langkawi ke Kuala Perlis sebelum meneruskan perjalanan ke Terengganu.

​Mengulas mengenai perancangan wang kemenangan tersebut, dia yang merupakan Pembantu Hal Ehwal Islam di Pejabat Agama Daerah Langkawi berhasrat menggunakannya untuk membantu keluarga selain dijadikan simpanan masa hadapan.

Sementara itu, ditanya mengenai rahsia amalannya, Muhamad Asyraf mengakui dia hanya memegang prinsip untuk tidak lokek membantu orang lain.

​"Tak ada amalan spesifik pun, cuma saya rasa kita perlu rajin bantu orang bila diminta dan jangan kedekut untuk berkongsi rezeki dengan orang lain," jelasnya lagi.

​Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran edisi kedua Terengganu Marathon tahun ini mencatatkan peningkatan luar biasa dengan penyertaan seramai 33,499 peserta berbanding 23,000 orang pada tahun lalu.

​Menurutnya, peningkatan itu membuktikan Terengganu Marathon semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat larian dari dalam dan luar negara.

​"Acara kali ini yang bermula pada Jumaat mempertandingkan empat kategori utama iaitu larian sejauh 42km, 21km, 10km dan 5km," katanya.

​Hadir sama pada majlis penutup acara itu ialah Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamudin Abdul Karim.