
KEMAMAN – Kerajaan negeri Terengganu akan mempercepatkan pembangunan berorientasikan transit (TOD) di enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) susulan pengoperasian perkhidmatan penumpang sistem pengangkutan berkenaan yang dijangka diawalkan pada Disember ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia bagi memastikan peluang ekonomi daripada pengoperasian ECRL tersebut dapat dinikmati secara optimum oleh rakyat dan pemain industri negeri ini.
“Saya menyambut baik makluman ECRL yang dapat beroperasi lebih awal pada Disember tahun ini berbanding jadual asal, Januari tahun depan.
“Kita telah berbincang dengan pelbagai syarikat untuk membangunkan TOD di enam stesen di negeri ini. Pergerakan (operasi ECRL) lebih awal ini menyebabkan kita terpaksa melihat semula apa yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat ini,” katanya di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh, di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, pembangunan TOD di enam stesen ECRL berkenaan sudah mempunyai reka bentuk dan kerangka pembangunan.
Bagaimanapun beliau berkata, pelaksanaannya masih bergantung kepada persetujuan serta penglibatan pelabur dengan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, keperluan elektrik dan pengairan, air disediakan kerajaan negeri. – KOSMO! ONLINE
The post Terengganu percepat pembangunan TOD 6 stesen ECRL appeared first on Kosmo Digital.






