Terengganu perkenal strategi baharu agih lembu bunting berkualiti ganti sistem pawah

12/09/2025 - 16:43
Gambar Instagram Datuk Dr Azman Ibrahim Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 12 Sept – Kerajaan negeri memperkenalkan strategi baharu untuk membangunkan industri penternakan Terengganu dengan mengagihkan lembu betina bunting berkualiti kepada penternak tulen sekali gus menepis persepsi program lama yang dianggap kurang berjaya seperti sistem pawah.
Program tersebut menggunakan peruntukan khas kerajaan negeri untuk membeli lembu baka ‘full blood’ atau ‘pure bred’ yang telah disahkan bunting (Pregnant Tested In Calf) bagi memastikan induk itu mampu berkembang biak.
Pelaksanaan program dilakukan secara berperingkat, dengan sasaran utama penternak tulen yang terbukti mempunyai minat, kemampuan dan dedikasi untuk menternak secara serius.
Setiap penerima lembu terikat dengan satu aku janji, di mana dalam tempoh tiga tahun, penternak hanya perlu memulangkan seekor anak lembu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai tanda komitmen penyertaan program tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, ia bagi memastikan program itu benar-benar berjaya dilaksanakan agar matlamat utamanya tercapai.
“Kerajaan tak minta banyak, cuma dalam tempoh tiga tahun, seekor anak perlu dipulangkan balik kepada Jabatan Veterinar.
“Tak kisahlah anak nombor berapa. Induk dan anak-anak yang lain adalah milik penternak selagi hayat lembu ada.
“Dalam tempoh tiga tahun itu, jabatan akan memantau bagi memastikan induk baka ini diternak dengan baik, bukan dijual atau disembelih atau lain-lain helah yang telah ada dalam perkiraan kita,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya, baru-baru ini.
Tambahnya, sektor penternakan berpotensi untuk berkembang dengan penglibatan penternak yang mempunyai tekad dan semangat untuk melakukannya dengan serius.
“Bila diagihkan maka tentu sekali penerima perlu diikat dengan satu akujanji dan komitmen.
“Memang hasrat asal saya nak bagi terus saja kepada rakyat. Tapi kita perlu ingat, manusia perlu diikat dengan komitmen bagi memastikan mereka bersungguh dalam berusaha. Kalau kita bagi dan lepas begitu sahaja, sejarah mungkin berulang,” katanya. - DagangNews.com
standard



