KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sedia mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan lokasi selamat yang bersesuaian bagi aktiviti bermain bunga api dan mercun menjelang musim perayaan tahun hadapan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif tersebut diambil bagi mengelakkan aktiviti berkenaan dilakukan sewenang-wenangnya di tempat awam.
**media[3475104]**
Katanya, langkah itu juga bertujuan melindungi kawasan sensitif seperti berhampiran hospital, masjid, surau serta kawasan perumahan daripada sebarang gangguan.
"Kerajaan negeri turut mengkaji keperluan untuk mengehadkan jenis mercun dan bunga api yang dibenarkan untuk digunakan di kawasan yang bakal dikenal pasti kelak.
"Kita menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung permainan mercun dan bunga api di tempat awam terutama di kawasan berhampiran hospital, rumah ibadat dan penempatan penduduk.
"Justeru, kita akan meneliti cadangan termasuk mengehadkan jenis bahan yang boleh digunakan selain mengenal pasti kawasan lapang yang sesuai untuk aktiviti tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, cadangan mewujudkan zon atau kawasan khas itu juga bermatlamat untuk mengawal penggunaan mercun yang menghasilkan bunyi terlalu kuat demi memelihara ketenteraman awam.
Antara lokasi tumpuan yang sedang dipertimbangkan ialah kawasan terbuka yang jauh dari kawasan penempatan padat seperti padang, kawasan rekreasi atau mana-mana lokasi yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tambah beliau, langkah proaktif tersebut sangat penting bagi meminimumkan risiko kejadian tidak diingini seperti kebakaran, kecederaan serta gangguan terhadap ketenteraman masyarakat.
"Kita juga akan menilai cadangan penetapan waktu permainan mercun dan bunga api supaya tidak melebihi jam 12 tengah malam.
"Selepas kajian dimuktamadkan, penggunaan mercun dan bunga api di kawasan sensitif termasuk kawasan perumahan padat, hospital, sekolah dan stesen minyak akan dilarang sepenuhnya," katanya.

