
JOHOR BAHRU – Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan insiden kebakaran khemah terbuka menjual mercun dan bunga api di Kampung Dato' Sulaiman Menteri di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chua Huat berkata, siasatan awal mendapati ia berpunca daripada generator yang digunakan seorang suspek lelaki tempatan di gerai miliknya.
“Kebakaran kemudian merebak ke seluruh gerai mercun sehingga menyebabkan letupan.
"Sebuah 'food truck' yang berada berhampiran turut terbakar dalam kejadian itu. Anggaran nilai kerosakan sekitar RM50,000,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perhimpunan Sempena Peringatan Hari Polis ke-219 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.
Beliau berkata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Jelasnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun di sebuah rumah di kawasan Kulai kira-kira jam 11.15 pagi, Rabu.
**media[3471852]**
“Susulan itu, satu lagi tangkapan dibuat kira-kira jam 12.30 tengah hari, Rabu di kawasan Kampung Melayu Majidee.
"Siasatan mendapati salah seorang suspek mempunyai lesen menjual, memiliki dan membeli mercun,” katanya.
Ujar Chuan Huat, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis, bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kecuaian mengendalikan bahan letupan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi hotline Polis Johor di 019-279 2095 serta bilik gerakan IPK Johor di 07-221 2999," katanya lagi.
Sebelum itu, beliau memaklumkan sepanjang Ramadan lalu sebanyak 66 kes merangkumi pelbagai kesalahan berkaitan mercun direkodkan di negeri ini.


