Teresa Kok Perjelas Isu Tular, Sahkan Kereta Disaman Miliknya

LocalPolitics
24 Oct 2025 • 7:03 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengakui bahawa kereta Volvo berwarna hitam tular yang diparkir di tepi Jalan Kuchai Maju, Kuala Lumpur pada baru-baru ini adalah miliknya.

Teresa ketika dihubungi BuzzKini hari ini (24 Oktober) berkata, Pusat Khidmat Masyarakat miliknya yang terletak di Kuchai Entrepreneur’s Park mempunyai masalah lot parkir yang tidak mencukupi.

Jelasnya, susulan itu pemandu peribadinya sering terpaksa meletakkan kenderaan berkenaan di tepi jalan sementara menunggunya menyelesaikan urusan di pejabat.

“Pemandu saya selalu terpaksa letak kereta saya di tepi jalan bila menunggu saya menyelesaikan urusan di pejabat. Ini bermaksud tempoh letak kereta di tepi jalan memang tidak lama,” katanya.

Teresa merungut kepada pegawai polis dan DBKL berhubung masalah parkir

Teresa turut mengakui beliau ada merungut kepada seorang pegawai polis tentang dirinya dan jirannya yang sering menerima kompaun oleh polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana masalah tempat letak kenderaan yang tidak mencukupi itu.

“Saya juga pernah merungut dengan pegawai DBKL berkenaan masalah tidak cukup tempat letak kereta ini,” katanya lagi.

Teresa tiada kuasa arah pegawai polis untuk tidak menyaman keretanya

Dalam pada itu, Teresa juga menafikan dakwaan bahawa beliau ada memberi arahan kepada pegawai polis untuk tidak memberi saman kepadanya.

Menurut Teresa, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memberi apa-apa arahan kepada pihak berkuasa.

“Saya tiada kuasa untuk beri apa-apa arahan kepada pegawai polis atau pegawai penguatkuasaan DBKL supaya tidak keluarkan kompaun kepada saya.

“Saya tetap bayar semua kompaun trafik daripada polis dan DBKL,” jelas Ahli Parlimen (MP) daripada parti DAP itu.

Tular dakwaan kononnya ada arahan jangan saman kereta-kereta YB

Terdahulu, tular di media sosial beberapa hantaran yang mendakwa kereta milik seorang MP diparkir secara haram di tepi sebuah kawasan jalan raya.

Kereta Volvo yang mempunyai jata Ahli Parlimen Malaysia di bahagian nombor plat hadapan itu diparkir di dalam kotak khas bas berhenti.

Lebih menarik perhatian ramai apabila tangkap layar kapsyen pada perkongsian yang tular mendakwa kononnya terdapat permintaan agar para anggota polis tidak menyaman kereta-kereta Yang Berhormat (YB)

Namun, tangkap layar perbualan yang turut dikongsikan langsung tidak menyebut atau meminta mana-mana anggota untuk tidak menyaman kereta Yang Berhormat seperti yang didakwa pada hantaran tersebut.

Kebanyakan netizen kemudiannya memetik nama Teresa Kok dan MP Bangi, Syahredzan Johan memandangkan terdapat gambar mereka berdua berdiri di sebelah kereta mirip kenderaan sama ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman pada tahun lalu.