Teresa Kok tuntut ganti rugi RM25 juta dari Akmal Saleh kerana putar belit kenyataannya

LocalPolitics
11 Sep 2024 • 3:10 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Tiga hari lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, menyelar Teresa Kok kerana mempersoalkan cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol mendapatkan pensijilan halal.

Akmal berkata, ‘nyonya tua’ itu tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal. Malah, Akmal mendakwa bantahan Teresa itu sebenarnya memalukan negara dan mengganggu-gugat keharmonian.

“Kalau kamu tak suka, dia tak melibatkan kamu pun dan yang sebenarnya yang memalukan negara ini adalah ada ahli parlimen seperti kamu wahai nyonya tua yang tak habis-habis mengganggu gugat keharmonian negara.

“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” katanya memetik laporan dari MalaysiaKini, 8 September 2024.

Ditanya oleh wartawan MalaysiaKini mengenai pemimpin MCA, Wee Jeck Seng, yang mengeluarkan kenyataan serupa dengan Teresa, Akmal menegaskan tiada sesiapa yang akan terkecuali atau terlepas dari tindakan sekiranya menyentuh isu 3R.

Tetapi apabila ditanya sama ada Pemuda UMNO akan membuat laporan polis terhadap Wee, pertanyaan itu tidak dijawab.

Sementara itu, Teresa dilaporkan telah mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap Akmal, menuntut ganti rugi RM25 juta. Notis tersebut dikeluarkan oleh peguam Teresa, iaitu Sankara Nair and Parners.

Dalam notis tersebut, Teresa mendakwa kenyataannya mengenai isu pensijilan halal telah diputar belit oleh Akmal.

Justeru, Akmal diberi tempoh selama tujuh hari bekerja untuk memberi maklum balas dan atau jika gagal berbuat demikian, pihak Teresa akan memulakan tindakan undang-undang.

Sumber: MalaysiaKini