
“Terima kasih kerana mengangkat bendera ASEAN, Taanusiya.”
Demikian penghargaan media Filipina, Philippine Star, terhadap wakil Malaysia, Taanusiya Chetty, selepas beliau melakar pencapaian membanggakan dengan muncul sebagai second runner-up (tempat ketiga) Miss World 2026 di Nha Trang, Vietnam, Ahad.
Dalam hantaran di media sosialnya, media berkenaan turut menzahirkan penghargaan kepada Taanusiya kerana membawa nama Malaysia dan mengangkat bendera ASEAN di pentas pertandingan kecantikan berprestij dunia itu.
Pencapaian tersebut menyaksikan Taanusiya, 26, menyamai rekod terbaik Malaysia dalam sejarah Miss World yang sebelum ini dicatatkan Lina Teoh apabila turut menduduki tempat ketiga pada edisi 1998.
Lebih manis, Taanusiya turut dinobatkan sebagai Miss World Asia selepas mempamerkan persembahan konsisten sepanjang pertandingan yang menghimpunkan 111 peserta dari seluruh dunia. Beliau terlebih dahulu mara ke kelompok enam terbaik selepas memenangi segmen Beauty With A Purpose (BWAP), yang mengiktiraf komitmen dan impak projek kemasyarakatan yang dibawa peserta.
Namun, kejayaan itu bukan sekadar tentang mahkota atau kedudukan di pentas dunia buat Taanusiya, yang merupakan seorang guru Bahasa Inggeris sekolah menengah.
Dalam perkongsian selepas pertandingan, beliau menyifatkan peluang membawa nama Malaysia sejauh itu sebagai satu anugerah besar, selain berharap pencapaiannya dapat mengubah persepsi bahawa seorang guru juga mampu memiliki impian besar.
“Sekarang, saya cuma berharap lebih ramai percaya bahawa seorang guru juga mampu bermimpi besar, melangkah jauh dan membawa nama negara ke pentas dunia,” katanya.
@taanusiyaa_ your Miss World Asia 2026, from Malaysia 🇲🇾
Taanusiya turut mendedikasikan perjuangannya menerusi inisiatif Be.The.Change_MY, yang menurutnya lahir daripada kepercayaan bahawa perubahan boleh bermula dengan satu langkah kecil.
“Terima kasih semua kerana percaya pada saya. Ini bukan hanya tentang sejauh mana saya pergi, tetapi tentang sejauh mana kita boleh membawa perubahan bersama,” katanya.
Baca juga:
Tun M jelaskan sebab hadir sambutan Hari Kebangsaan- ‘Terima kasih angkat bendera ASEAN’- Media Filipina kagum kejayaan Taanusiya
‘Kenapa tiba-tiba melatah?’ – Fadhli Shaari persoal tindakan PH
Kejayaan itu turut mendapat pujian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, yang menyifatkan pencapaian Taanusiya sebagai sesuatu yang membanggakan, selain kagum dengan komitmennya menjadikan pendidikan dan advokasi sebahagian daripada perjuangannya.
“Saya tertarik bukan sahaja dengan pencapaiannya di pentas dunia malah juga dengan sisi Taanusiya yang meletakkan pendidikan dan kerja advokasi sebagai sebahagian daripada perjuangannya.
“Kerana kecantikan mungkin membuka pentas, tetapi ilmu dan pemikiran menentukan apa yang kita lakukan apabila berada di atasnya,” kata Fadhlina.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Taanusiya dan menggalakkannya terus menggunakan pentas serta suara yang dimiliki untuk membawa perkara yang bermakna.
Bagi Malaysia, pencapaian Taanusiya bukan sahaja mengembalikan negara ke kelompok tiga terbaik Miss World selepas 28 tahun, malah menjadi bukti bahawa seorang pendidik juga mampu membawa aspirasi, ilmu dan suara Malaysia ke pentas antarabangsa.
The post ‘Terima kasih angkat bendera ASEAN’- Media Filipina kagum kejayaan Taanusiya appeared first on The Reporter.





