
TAANUSIYA Chetty, nama yang menjadi sebutan baru-baru ini apabila mengharumkan nama Malaysia di mata dunia selepas berjaya menamatkan saingan Miss World 2026 di tempat ketiga.
Namun di sebalik gaun indah dan mahkota yang disarung, anak muda ini membawa jiwa seorang pendidik yang sentiasa tebal dalam dadanya.
Mengulas mengenai lipatan sejarah baharu yang dilakarnya itu, Taanusiya mengakui perasaannya bercampur baur antara terkejut dan bersyukur.
Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) ini, peluang menjulang nama negara di peringkat antarabangsa adalah sebuah anugerah yang amat bernilai.
"Tak tahu nak rasa macam mana... Sejauh ini saya dapat membawa nama negara adalah satu anugerah yang sangat besar.

"Sekarang, saya cuma berharap lebih ramai percaya bahawa seorang guru juga mampu bermimpi besar, melangkah jauh dan membawa nama negara ke pentas dunia," kongsinya yang mesra disapa Taanu.
Perjuangannya menerusi projek kemasyarakatan Be.The.Change_MY atau Pertubuhan Suara Perubahan Insan Murni yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesejahteraan emosi kanak-kanak kurang bernasib baik turut membuktikan bahawa platform ratu cantik digunakan sepenuhnya Taanusiya untuk memberi impak positif kepada masyarakat.
Dia percaya, setiap perubahan besar dalam hidup sentiasa bermula dengan satu langkah kecil yang berani.
"Dengan sepenuh hati, untuk Be.The.Change_MY segala yang saya perjuangkan, saya lakukan kerana percaya bahawa perubahan bermula dengan satu langkah kecil.

"Terima kasih semua kerana percaya pada saya. Ini bukan hanya tentang sejauh mana saya pergi, tetapi tentang sejauh mana kita boleh membawa perubahan bersama" titipnya lagi, merakamkan penghargaan buat semua yang tidak henti-henti menyokong perjalanannya.
Di balik kejayaan glamor itu, keperibadian Taanusiya yang sebenar turut didedahkan menerusi perkongsian rakan pendidik di Instagram.
Sepanjang menjalani latihan praktikal di sebuah sekolah di Shah Alam, si cantik kelahiran Kuala Lumpur itu dikenali sebagai seorang yang sangat merendah diri, berdedikasi dan memiliki tutur kata yang cukup lembut.
Rakan gurunya sempat mengimbas kembali detik awal pertemuan mereka yang mencuit hati apabila kecantikan semula jadi Taanusiya terus mencuri tumpuan sejak hari pertama melapor diri.
"Dia seorang yang sangat baik, cantik semula jadi, aura seorang ratunya sangat kuat, lembut dan dedikasi. Dalam kesibukan dia membuat persiapan ke pertandingan Miss World 2026, dia sempat menyelesaikan praktikum di sekolah.
"Ingat lagi masa hari pertama dia melapor diri dengan saya, terus saya tanya, 'Cikgu ratu cantik Malaysia ke?'
"Direct saya tanya sebab dia memang sangat cantik walaupun mekap yang dipakai sangat minimum. Saya cuma pesan pada Taanu, jangan pakai cantik-cantik sangat, nanti murid jatuh cinta pula," selorohnya.

Pesan mesra dalam nada gurauan itu kini menjadi kenangan manis apabila Taanusiya bukan sahaja membanggakan rakan sekerja dan warga sekolah, malah membuktikan kepada dunia bahawa gelaran Beauty With A Purpose (BAWP) serta naib juara Miss World Asia 2026 memang layak disandang oleh seorang guru yang berjiwa besar dari Malaysia.
Warganet rata-rata teruja dengan perkongsian berkenaan dan tertarik dengan ratu cantik yang berjiwa pendidik.
Sekadar info, Taanusiya menamatkan penantian Malaysia selama 28 tahun, mengulangi pencapaian bersejarah yang pernah dilakar oleh Lina Teoh pada Miss World edisi 1998 di Mahe, Seychelles.
Dalam persaingan sengit yang menghimpunkan 111 peserta dari seluruh pelosok dunia, pertandingan berkenaan menyaksikan Joheirry Mola Dominguez dari Republik Dominika yang memenangi gelaran ratu, serta Elisabeth Reynes Alabern dari Sepanyol di tempat kedua.

Langkah Taanu menuju ke kelompok enam terbaik dipacu oleh jiwa murni dan empati yang tinggi. Dia yang berjaya mengungguli segmen BWAP, menewaskan pesaing terdekatnya, Brunette Makanyiso dari Zimbabwe.
Namun, apa yang benar-benar menawan hati ramai hingga tular di media sosial ialah ketika melalui cabaran Head-to-Head pada 23 Ogos lalu.
Kefasihannya menuturkan empat bahasa Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, dan Bahasa Tamil menunjukkan ia bukan sekadar kebolehan berkomunikasi malah bangga membawa elemen budaya Malaysia yang diwakilinya.






