“Terima Kasih Jadi Ayah Saudara Yang Baik…” – Video Kenangan Bersama Anak Saudara Buat Ramai Sebak

Family & Parenting
6 Jun 2026 • 1:50 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Terima Kasih Jadi Ayah Saudara Yang Baik…” – Video Kenangan Bersama Anak Saudara Buat Ramai Sebak

KUALA TERENGGANU – “Terima kasih jadi ayah saudara yang baik, sekarang tinggal kenangan je kan.”

Itulah luahan ringkas namun cukup menyentuh hati yang dikongsikan seorang wanita menerusi TikTok Fienásha (@l.ovesha) selepas pemergian ahli keluarganya, Allahyarham Wan Shafian Irfan.

Perkongsian video yang memaparkan arwah bergurau dan meluangkan masa bersama anak-anak saudaranya itu mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen apabila mengetahui individu yang kelihatan ceria dalam rakaman tersebut sebenarnya telah pergi buat selama-lamanya.

Dalam video berkenaan, arwah dilihat bermain dan bergelak ketawa bersama anak-anak kecil yang dipercayai anak saudaranya. Momen sederhana itu kini menjadi antara kenangan terakhir yang ditinggalkan buat keluarga.

Lebih menyentuh hati, pemilik akaun turut memuat naik satu lagi hantaran khas buat arwah.

“Al-Fatihah Wan Shafian Irfan. Kakchik rindu awak. Awak seorang adik yang sangat baik. Seorang anak yang baik,” tulisnya.

Luahan Rakan Buat Ramai Tersentuh

Di ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa sedih selepas mengetahui kisah di sebalik video tersebut.

“Dunia ni rasa beza sangat sejak kau tak ada. Bilik sembang kita sunyi, tempat lepak kita rasa kosong. Kerinduan ni tak pernah berkurang, cuma aku belajar untuk simpan kemas-kemas dalam doa,” tulis seorang individu yang dipercayai rakan arwah.

Luahan itu mendapat perhatian ramai dan turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang sama-sama bersedih dengan pemergian pemuda berkenaan meskipun tidak mengenalinya secara peribadi.

Disahkan Maut Akibat Lemas Di Chemerong

Menerusi beberapa balasan komen, pemilik akaun turut memaklumkan bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat lemas di Air Terjun Chemerong, Terengganu.

Semakan TMU mendapati Wan Shafian Irfan Wan Harun, 19 tahun, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi di Air Terjun Chemerong, Hulu Dungun pada 3 Jun lalu.

Kejadian itu turut mendapat perhatian ramai apabila kisah pemergian arwah mula dikongsikan di media sosial oleh ahli keluarga dan rakan-rakan yang masih merasai kehilangan tersebut.

“Kadang-Kadang Video Biasa Jadi Kenangan Terakhir”

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen turut menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Kadangkala, sebuah video yang pada awalnya kelihatan biasa rupa-rupanya menjadi kenangan terakhir yang paling berharga buat mereka yang ditinggalkan.

Al-Fatihah buat Allahyarham Wan Shafian Irfan Wan Harun. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. – The Malaysian Update


Sokong TMU

Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.

Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Sokong TMU di sini

The post “Terima Kasih Jadi Ayah Saudara Yang Baik…” – Video Kenangan Bersama Anak Saudara Buat Ramai Sebak appeared first on The Malaysian Update.