Datuk Azizulhasni Awang akhirnya mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneruskan misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima surat daripada MSN yang mengesahkan Azizulhasni sebagai antara pelumba trek negara yang akan mengumpul mata kelayakan Olimpik LA28.
AdvertisementPelumba berusia 38 tahun itu akan meneruskan perjuangan dalam acara keirin dan pecut, selain turut berada di bawah perhatian program Road to Gold (RTG) dan Podium MSN.
View this post on Instagram
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari turut mengarahkan MSN memastikan kesinambungan proses kelayakan atlet berbasikal trek negara ke LA28.
PKBM Lega Laluan Azizulhasni Kini Lebih Jelas
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan berkenaan memberikan kejelasan yang diperlukan Azizulhasni untuk memberi tumpuan kepada kempen kelayakan Olimpik yang mencabar.
Kempen tersebut akan bermula dengan Kejohanan Trek Dunia UCI 2026 di Shanghai, China pada Oktober ini.
Menurut Amarjit, PKBM sebelum ini sudah memulakan persiapan laluan kelayakan LA28, termasuk mengadakan perbincangan bersama MSN pada 7 Julai lalu berkaitan syarat kelayakan serta kejohanan antarabangsa yang perlu disertai pelumba negara.
“Perkara ini penting kerana proses kelayakan LA28 memerlukan perancangan rapi sejak awal, termasuk pemahaman yang jelas mengenai laluan pertandingan serta bentuk sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh kelayakan,” katanya.
PKBM Sokong Azizulhasni Terus Wakili Malaysia
Amarjit berkata, PKBM pada 10 Ogos lalu turut menulis secara rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan serta MSN bagi menyatakan pendirian supaya Azizulhasni terus mewakili Malaysia dalam misi menuju LA28.
Beliau menyambut baik maklum balas positif daripada kerajaan dan MSN yang disifatkan sebagai keputusan penting bukan sahaja buat Azizulhasni, malah untuk pembangunan sukan berbasikal Malaysia.
View this post on Instagram
“Kami amat gembira Kerajaan dan MSN memberi maklum balas yang positif. Ini satu keputusan penting bukan sahaja untuk Azizulhasni, tetapi juga untuk sukan berbasikal Malaysia dan aspirasi negara di LA28,” katanya.
Menurutnya, sokongan berkenaan dibuat berdasarkan prestasi semasa, pencapaian serta pengalaman luas Azizulhasni yang dilihat masih mampu bersaing di peringkat tertinggi.
“Azizulhasni sudah memberikan begitu banyak kepada sukan Malaysia dan beliau diperlukan Malaysia untuk menggalas cabaran dan tugas penting ini untuk negara. Beliau terus membuktikan bahawa beliau masih mampu bersaing dengan jayanya di peringkat tertinggi.
“Pengalaman, komitmen dan mentaliti juara yang dimilikinya kekal sebagai aset besar kepada program berbasikal trek negara,” katanya.
Fokus Kini Kepada Kelayakan LA28
Amarjit berkata, sokongan terbaharu itu membuka laluan yang lebih jelas untuk Azizulhasni, khususnya dari segi program latihan, sokongan prestasi tinggi dan penyertaan dalam kejohanan sepanjang tempoh kelayakan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Majlis Sukan Negara Bidas Datuk Azizulhasni Awang, Sifatkan Atlet Berbasikal Itu Tidak Bertanggungjawab
The post “Terima Kasih Rakyat Malaysia..” – Azizulhasni Awang Dapat ‘Lampu Hijau’, KBS Dan MSN Sokong Misi LA28 first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






