Terkandas Lebih 50 Jam, Penumpang Mengamuk Penerbangan Batal Tanpa Notis

LocalTravel
14 May 2026 • 6:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Terkandas Lebih 50 Jam, Penumpang Mengamuk Penerbangan Batal Tanpa Notis

KUALA LUMPUR - Suasana tegang menyelubungi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai apabila puluhan penumpang terkandas lebih dua hari, gara-gara penerbangan mereka dibatalkan tanpa sebarang notis. 

Menurut laporan, penumpang hanya dimaklumkan mengenai pembatalan penerbangan ke Kuala Lumpur itu sebaik tiba di pintu pelepasan. 

Menurut beberapa hantaran yang tular di platform X dan Douyin, penerbangan yang dijadual berlepas pada awal pagi 11 Mei itu pada mulanya hanya mengalami kelewatan kira-kira sejam.

Bagaimanapun, penumpang mendakwa mereka tidak menerima sebarang makluman awal berhubung pembatalan penerbangan tersebut dan hanya mengetahui perkara itu selepas menunggu di pintu pelepasan.

Satu emel pemberitahuan yang diterima kemudian memaklumkan bahawa penerbangan berkenaan dijadualkan semula atas “sebab operasi”, dengan penerbangan gantian ditetapkan pada 13 Mei jam 5 pagi, kira-kira 50 jam selepas waktu asal.

Kelewatan memberikan maklumat kepada penumpang itu kemudiannya mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka yang terjejas.

Sebahagian penumpang meluahkan kekecewaan di media sosial, termasuk seorang pengguna yang mendakwa tiada notis awal diberikan mengenai kelewatan mahupun pembatalan penerbangan, sekali gus menyukarkan mereka menyusun semula jadual perjalanan serta menanggung kerugian kos berkaitan.

Video yang dikongsi di media sosial turut memaparkan suasana tegang di pintu pelepasan apabila beberapa penumpang menuntut pampasan, sementara kakitangan darat cuba mengawal keadaan.

Walaupun syarikat penerbangan dilaporkan menawarkan bantuan termasuk penjadualan semula penerbangan dan pengaturan alternatif lain, keadaan di lokasi kekal tegang.

Dalam kenyataan kepada Mothership Singapore, AirAsia X mengesahkan pembatalan penerbangan tersebut dan menjelaskan ia berpunca daripada isu operasi tidak dijangka yang memerlukan pemeriksaan keselamatan tambahan terhadap pesawat.

Menurut syarikat penerbangan itu, langkah pemulihan segera telah diaktifkan dengan menempatkan penumpang terjejas pada penerbangan terdekat ke Kuala Lumpur.

AirAsia X turut memaklumkan,  makanan ringan serta penginapan disediakan tertakluk kepada ketersediaan, manakala kakitangannya terus membantu penumpang dalam urusan penjadualan semula penerbangan.

Syarikat penerbangan itu turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku, dengan pengurus besarnya menyatakan kekesalan terhadap gangguan dialami penumpang, serta menghargai kesabaran mereka sepanjang insiden tersebut. 

Video insiden berkenaan yang dikongsi oleh @Fahadnaimb menerusi akaun X boleh dilayari di pautan ini  https://www.facebook.com/reel/965486752847398 - Getaran, 14 Mei 2026