Terkejut Lihat Pantai Miri Dipenuhi Sampah, Penduduk Pakat Gotong Royong Besar-Besaran

23 Feb 2025 • 10:19 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Gotong Royong Besar Kembalikan Imej Pantai Miri

Terkejut Lihat Pantai Miri Dipenuhi Sampah, Penduduk Berpakat Gotong Royong Besar-Besaran. Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai keadaan pantai di Miri yang dipenuhi dengan sampah sarap sehingga hampir menutupi pasir pantai. Keadaan ini mengejutkan ramai warga Sarawak, terutamanya penduduk setempat yang prihatin terhadap kebersihan dan imej bandar pelancongan ini.

Seorang individu bernama Karambir Singh telah berkongsi hantaran di Facebook mengenai inisiatif kecil yang dilakukannya bersama beberapa individu lain untuk membersihkan pantai tersebut. Beliau meluahkan rasa terkejut dengan keadaan pantai yang dipenuhi dengan sisa plastik dan sampah yang dihanyutkan ke persisiran pantai. Dalam usahanya, mereka berjaya mengumpulkan kira-kira 30 beg plastik berisi sampah.

Usaha mereka mendapat pujian daripada netizen yang rata-ratanya memuji kesedaran serta tindakan proaktif yang diambil. Malah, ramai yang berharap agar lebih banyak kempen pembersihan pantai dapat dianjurkan bagi mengembalikan keindahan semula jadi kawasan itu.

Susulan itu, satu program perlu dilaksanakan bagi menangani masalah pantai kotor dan mengembalikan reputasi Miri sebagai bandar pelancongan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menggesa semua agensi berkaitan, termasuk Majlis Bandaraya Miri (MBM), untuk mengambil langkah proaktif dalam merangka pelan jangka panjang bagi Pantai Marina, salah satu tarikan popular di bandar ini yang kini dipenuhi sampah dan sisa plastik yang dihanyutkan ke pesisir.

image is not available

“Selepas meneliti kerja-kerja gotong-royong membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, saya dapati kebanyakan sampah yang terdampar berasal dari kawasan perumahan dan komersial tempatan.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menguruskan sisa yang mereka hasilkan dengan betul,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu ketika merasmikan program pembersihan di Pantai Marina hari ini.

Gotong-royong tersebut melibatkan sekitar 300 sukarelawan daripada pelbagai agensi, termasuk Pejabat Residen, MBM, Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Jabatan Hutan Sarawak, dan Angkatan Tentera Malaysia.

Baru-baru ini, Miri City Caring Society (MCCS) menyeru sektor awam dan swasta untuk bertindak segera selepas longgokan sampah semakin bertambah di sepanjang Pantai Marina.

Lee menekankan bahawa gotong-royong seperti ini tidak sepatutnya menjadi usaha jangka pendek yang hanya dilakukan sekali atau dua kali setahun.

“Ia sepatutnya menjadi inisiatif mingguan.

“Tetapkan matlamat untuk memastikan pantai ini benar-benar bersih dalam tempoh satu atau dua tahun. Tiada gunanya jika ia dilakukan hanya sekali dua. Jadikan ia satu program jangka panjang yang dapat memberi impak sebenar dan meningkatkan kesedaran masyarakat.”

Baca juga artikel semasa di bawah: