
PUTATAN: Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya meluahkan rasa terkilan kerana gangguan bekalan air di kawasan Putatan dan Kota Kinabalu masih berterusan, meskipun Loji Rawatan Air Kasigui (UWSS Kasigui) telah mula beroperasi dan menghasilkan air terawat untuk dua kawasan berkenaan.
Shahelmey, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata Loji Kasigui berkapasiti lima juta liter sehari, namun setakat ini hanya mampu menghasilkan antara tiga hingga empat juta liter air terawat setiap hari.
"Saya sendiri agak terkilan kerana loji UWSS yang baru sudah beroperasi, jadi saya tertanya-tanya mengapa tambahan air terawat itu masih tidak sampai kepada pengguna.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Saya meminta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menjalankan pemeriksaan dan mereka mendapati masalah berlaku dari segi pengagihan bekalan itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, keadaan yang memberi kesan kepada penduduk Putatan dan Kota Kinabalu, termasuk premis hotel bertaraf lima bintang serta pusat beli-belah kini sedang ditangani secara berperingkat.
"Saya akui menerima banyak aduan pada Isnin lalu. Sebaik sahaja saya membuka telefon ketika berada di Kuala Lumpur, aduan masuk bertubi-tubi.
"Saya terus menghubungi JANS dan mereka memaklumkan gangguan berlaku akibat beberapa isu teknikal seperti paip pecah, angin terperangkap dalam saluran dan kapasiti pam yang terhad," jelasnya.
Shahelmey berkata, apabila projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 Fasa 2 siap kelak, bekalan air akan dapat disalurkan ke kawasan Inanam dan Sepanggar.
"Ini membolehkan air dari LRA Moyog dan Kasigui, yang sebelum ini turut diagihkan ke kawasan tersebut, disalurkan semula ke Kota Kinabalu dan Putatan.
“Bagi kawasan hotel pula, tekanan air rendah berlaku kerana premis berada di hujung sistem agihan. Namun, hari ini pihak pengurusan salah sebuah hotel memaklumkan mereka berpuas hati dengan pelan pemulihan yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan rapi masih diteruskan dan kerajaan telah menyediakan pelan kontingensi jangka pendek termasuk penyediaan lori tangki air bagi menghantar bekalan ke kawasan yang mengalami tekanan rendah.
"Pelan pemulihan sedang diperbaiki agar pengagihan air dapat disalurkan dengan lebih teratur. Insya-Allah, kita sasarkan masalah ini dapat diselesaikan dalam minggu ini,” katanya.
Apabila diberitahu bahawa isu bekalan air digunakan sebagai bahan kempen oleh pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Shahelmey menegaskan perkara itu perlu dilihat secara adil.
"Saya yakin apabila kerja pemasangan paip Telibong Fasa 2 siap sepenuhnya, kita akan dapat menikmati bekalan air yang lebih stabil. Mengikut perkiraan semasa, gangguan sepatutnya dapat diminimumkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui antara cabaran utama yang masih dihadapi ketika ini termasuk keadaan paip yang sudah uzur serta kejadian kecurian air yang berulang.
"Saya tetap yakin tahap pemulihan bekalan air akan meningkat dengan ketara menjelang hujung bulan ini, iaitu dalam tempoh dua minggu akan datang.”
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak membuat andaian tidak berasas berkaitan isu gangguan bekalan air, apatah lagi menyebarkan kandungan palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.
"Kalau memang ada asas kepada aduan atau teguran, itu adalah hak bersuara. Tetapi apabila ada pihak menggunakan video yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan untuk memburukkan kerajaan, ia bukan sahaja memberi imej negatif kepada kerajaan semasa tetapi juga menjejaskan nama baik negeri Sabah," tegasnya.
Shahelmey menegaskan kerajaan sentiasa berusaha gigih dan bekerja keras untuk menangani isu bekalan air, yang bukan berpunca daripada kelemahan pentadbiran semasa semata-mata, sebaliknya merupakan masalah legasi yang diwarisi sejak sekian lama.
"Ia berpunca daripada kelewatan pelaksanaan pelbagai program pembangunan infrastruktur air pada masa lalu. Kini, kita sedang berusaha menyelesaikannya secara berperingkat," katanya.




