KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terkilan terhadap beberapa keputusan kerajaan Pusat yang dianggap tidak berpihak kepada hak serta kepentingan negeri itu.
Baginda bertitah, kerajaan Pusat perlu lebih cakna terhadap hak negeri Pahang termasuk dalam soal hasil negeri, pelaksanaan projek dan pemeliharaan alam sekitar.
Menurut baginda, Pahang merupakan antara empat negeri terawal membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia, justeru pengorbanan negeri itu perlu diberikan perhatian sewajarnya.
"Pahang telah banyak berkorban untuk mengekalkan keluasan hutan, alam flora dan fauna serta gunung-ganang yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem, kawasan tadahan hujan dan biodiversiti di Semenanjung Malaysia.
"Pengorbanan negeri Pahang ini tidak boleh sama sekali diukur dengan nilai sumbangan cukai kepada persekutuan tetapi cukup signifikan dari segi keseimbangan alam sekitar, khususnya di semenanjung malaysia," titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan Pusat yang tidak meluluskan usaha negeri Pahang untuk menambah hasil negeri melalui eksport pasir sungai.
Baginda bertitah, Pahang memiliki sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia yang menyebabkan terdapat mendapan pasir yang perlu dikeluarkan bagi memastikan kelancaran aliran sungai serta mengelakkan risiko banjir.
"Sebelum ini, kita dapat menambahkan hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya, kerajaan pusat tidak lagi membenarkannya sekarang ini sedangkan hasil tanah dan pasir ini merupakan hak negeri," titah baginda lagi.
Selain itu, Tengku Hassanal mahu kerajaan Pusat memberikan lebih kuasa dan ruang kepada kerajaan negeri dalam pelaksanaan sesuatu projek termasuk mengutamakan syarikat serta kontraktor berasal dari Pahang.
Baginda bertitah, peluang melaksanakan projek perlu diberikan kepada anak-anak negeri yang berkelayakan dan kompeten walaupun pelantikan kontraktor G7 boleh dibuat dari seluruh negara.
Tengku Hassanal menegaskan kerajaan Pusat semestinya teliti semula perkara ini, hak negeri Pahang sepatutnya dikembalikan semula kepada negeri Pahang.
"Janganlah satu hari nanti, negeri Pahang mengambil tindakan terhadap kerajaan Persekutuan.
"Saya mohon yang berhormat penasihat undang-undang negeri untuk kaji dengan teliti apa tindakan yang boleh kita ambil ke atas kerajaan Persekutuan untuk perkara ini," titah baginda.






