
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
[Kemaskini] Seorang lelaki disahkan maut susulan insiden letupan kompresor penyaman udara di universiti swasta terbabit.Menurut Ketua Polis KL, mangsa terkorban adalah lelaki tempatan berusia 24 tahun yang bekerja dengan syarikat kontraktor penyaman udara.
Satu insiden letupan kompresor pendingin hawa di universiti swasta, HELP University, Bukit Damansara, Kuala Lumpur dilaporkan berlaku sekitar jam 11.40 pagi, hari ini (12 Januari).
Insiden menyebabkan sembilan individu, termasuk empat pelajar, dilaporkan cedera dengan ada yang dikatakan parah.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, letupan dipercayai berlaku disebabkan kebocoran gas kompresor pendingin hawa (aircond) tersebut.
“Kita menerima panggilan mengenai letupan di kawasan penyelenggaraan pendingin hawa bersebelahan kafeteria di tingkat empat,” katanya dipetik Berita Harian.
Mangsa terlibat adalah:
- Empat pelajar
- Dua pekerja kontraktor
- Seorang pekerja pengurusan universiti
- Dua pekerja warga asing kafeteria
Universiti Masih Bercuti, Tidak Ramai Pelajar Ketika Kejadian
Mengulas lanjut, Fadil berkata tidak ramai pelajar yang berada di sana ketika kejadian memandangkan universiti itu masih bercuti.
Beliau menjelaskan bahawa pemeriksaan menyeluruh kini sedang dijalankan oleh pasukan HAZMAT (Hazardous Material Unit Team) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
“Kawasan itu selamat tetapi pemeriksaan penuh dijalankan bagi mengelak berlaku letupan susulan,” ujarnya.
Siasatan Dapati Tiada Unsur Jenayah Terlibat
Tambah Fadil, kejadian berlaku ketika juruteknik sedang melakukan kerja-kerja pembaikan sistem penyaman udara di universiti tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah yang terlibat dalam insident berkenaan.
“Sembilan mangsa terlibat dengan kecederaan berbeza termasuk ada mangsa cedera parah, melecur serta kecederaan akibat terkena serpihan kerana letupan berlaku dengan kuat sehingga menyebabkan kerosakan pada dinding di kawasan terlibat,” katanya dipetik Bernama.
Dalam pada itu, kesemua mangsa telah dihantar ke hospital berdekatan termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.
1 orang disahkan maut
Dalam satu perkembangan terbaharu, polis mengesahkan kematian seorang lelaki susulan insiden letupan kompresor penyaman udara di universiti swasta terbabit.
Menurut Fadil Marsus, mangsa yang terkorban adalah seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang bekerja dengan syarikat kontraktor penyaman udara.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, lapor BH.
Tambah beliau lagi, lelaki berkenaan adalah seorang daripada 10 mangsa kejadian itu, sekaligus menyaksikan jumlah mangsa meningkat berbanding 9 individu seperti yang dilaporkan sebelum ini.


