
TULAR di media sosial satu babak tidak manis dalam teater yang dipentaskan di sebuah universiti sehingga mengundang kecaman warganet.
Universiti berkenaan menerusi satu kenyataan memandang serius hal berkenaan dan memaklumkan adegan ranjang dilakonkan pelajar lelaki dan perempuan itu dikatakan tidak selaras dengan skrip sebenar.
"Untuk makluman, berdasarkan syarat-syarat umum dan peraturan pertandingan Karnival Teater (KARVITER) Universiti Malaya (UM), setiap persembahan hendaklah bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik universiti.
"Hasil penelitian mendapati adegan yang dipertontonkan adalah tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan dan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan.

"Sehubungan itu, UM dengan ini memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta sebarang kegusaran yang timbul. Universiti tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang telah ditetapkan.
"Persembahan berkenaan telah diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai, dan tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan perkara seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan," kongsinya.
Dilaporkan, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengemukakan tuntutan tegas iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam oleh pasukan teater berkenaan dan mengambil tindakan segera.
Terdahulu, satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di pentas dimuat naik menerusi media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi warganet.
Difahamkan, rakaman itu adalah sebahagian daripada pementasan teater diadakan di universiti berkenaan.





